KUALA LUMPUR, 21 MAC – Peniaga kini perlu mengubah strategi perniagaan mereka untuk terus berdaya saing di tengah-tengah limpahan bantuan yang diberikan oleh kerajaan,kata ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Beliau berkata ekonomi akan pulih kembali pada separuh kedua tahun ini dan peniaga seharusnya mula mempelbagai perniagaan masing-masing untuk terus bertahan dalam jangka panjang semasa pandemik COVID-19.
“Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan pada Rabu hanyalah untuk memberikan langkah-langkah penahan yang bersifat sementara.
“Oleh itu, apa yang perlu mereka lakukan adalah menggembleng semua sumber yang ada termasuk bantuan kerajaan agar perniagaan dapat terus bergerak maju,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata perniagaan mungkin perlu menceburkan diri dalam produk baharu, pasaran baharu atau menjalin perkongsian dalam sistem eko-perniagaan.
“Perniagaan mesti mampu mengatasi aliran tunai yang terhad dan pada masa sama dapat bergerak ke bidang atau pasaran baharu,” tambahnya.
PEMERKASA bernilai RM20 bilion yang diumumkan itu adalah pakej rangsangan keenam sejak 2020, menjadikan nilai keseluruhan berjumlah RM340 bilion. – Bernama