Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ubah tanah terbiar tanam salad karang

    KAMPAR – Inisiatif sekumpulan penduduk Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang di sini, mengubah lot tanah terbiar kepada tapak projek penanaman salad secara hidroponik sejak awal Mei, berbaloi apabila hasilnya berjaya memanfaatkan komuniti setempat.

    Ketua projek, Mohmad Fazar Fadzillah, 37, berkata pelaksanaan projek di tapak berkeluasan 0.1 hektar itu, dibantu dengan peruntukan di bawah Dana Komuniti Madani berjumlah RM80,000, yang disalurkan kepada mereka melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

    “Tanah ini pada asalnya terbiar disebabkan sering ditenggelami air akibat banjir kilat. Jadi untuk mengelakkan tanah tersebut daripada terus terbiar, kami nekad untuk lakukan sesuatu yang boleh beri manfaat.

    “Sejujurnya, saya dapat tahu wujudnya peruntukan melalui dana ini selepas menonton (televisyen) ucapan Perdana Menteri dalam Karnival Usahawan Desa (KUD)@ Putrajaya 2023, pada penghujung November tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama pada Hari Pembukaan Penjualan Salad Coral di Kampung Batu 8.

    Mohmad Fazar yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 8, berkata bertindak daripada pengumuman itu, beliau bersama beberapa ahli jawatankuasa kampung telah bermesyuarat dan memutuskan untuk menjalankan penanaman salad tersebut.

    Mohmad Fazar Fadzillah menunjukkan teknik penanaman salad jenis coral kepada orang ramai pada Hari Pembukaan Jualan Salad Coral di Kampung Batu 8. – Bernama
    Mohmad Fazar Fadzillah memilih salad yang sudah matang untuk dijual pada Hari Pembukaan Jualan Salad Coral. – Bernama
    Orang ramai berpeluang membeli salad karang pada harga RM2 bagi satu pot. – Bernama
    Orang ramai berpeluang membeli salad karang pada harga RM2 bagi satu pot. – Bernama

    “Kami mohon (geran) pada 28 Mac melalui laman web MySejaTiMADANI, Alhamdulillah sebulan selepas itu, permohonan kami diluluskan dan peruntukan melalui permohonan itu kami gunakan untuk menjayakan projek penanaman salad ini,” katanya.

    Mengulas tentang pelaksanaan projek tersebut secara umum, beliau berkata sebanyak 1,300 pot disediakan bagi penanaman salad jenis karang itu, selain melibatkan penyertaan seramai 16 peserta terdiri daripada kalangan penduduk Kampung Batu 8.

    Tambah beliau, faktor utama mereka memilih untuk menanam salad jenis karang itu disebabkan harga yang tinggi di pasaran serta mudah dijaga dan diselenggara.

    “Harga satu kilogram (kg) salad jenis ini di pasar raya atau tempat-tempat tertentu sekitar RM15 sehingga RM20. Ini faktor utama selain tanaman salad ini juga mudah dijaga dan sukar diserang pelbagai penyakit.

    “Proses tumbesaran tanaman ini juga hanya mengambil masa sekitar 30 hingga 45 hari untuk matang dan boleh dituai untuk proses jualan kepada masyarakat sekitar,” katanya.

    Selain itu, Mohmad Fazar berkata proses penjagaan serta pemantauan dilakukan setiap hari, bagi memastikan salad yang ditanam mengeluarkan hasil berkualiti.

    “Kami lakukan tugas secara bergilir-gilir dan paling penting penjagaan baja serta air untuk tanaman salad ini perlu sekata, bagi memastikan hasilnya berkualiti,” katanya.

    Ditanya tentang perancangan masa depan berkaitan projek itu, Mohmad Fazar berkata mereka akan meluaskan pasaran salad tersebut, selain mempelbagaikan jenis tanaman di tapak berkenaan.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti Madani ICU JPM, Nor Hanis Mazlan berkata pelaksanaan projek yang tertakluk di bawah Program Komuniti Madani ini, secara dasarnya untuk merancakkan ekonomi komuniti setempat termasuk di kawasan pedalaman.

    “Kerajaan menyediakan peruntukan melalui Dana Komuniti Madani, iaitu memperuntukkan nilai geran bermula dari RM50,000 hingga RM100,000 bagi membantu komuniti melaksanakan program yang boleh meningkatkan pendapatan komuniti,” katanya.

    Nor Hanis berkata mana-mana komuniti yang berminat untuk melaksanakan projek seumpama ini, perlu membuat permohonan penuh melalui sistem pada laman web MySejaTiMADANI.

    “Dana ini bukan hanya tertumpu pada sektor pertanian dan makanan sahaja, sebaliknya mana-mana komuniti yang berminat untuk melaksanakan projek lain seperti jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, hospitaliti dan pelancongan serta aktiviti hijau dan kitar semula juga boleh memohon,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda