BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun 2008 – Harga minyak yang rendah di negara ini menyebabkan beberapa orang dari negara jiran cuba untuk menyeludup keluar minyak dari negara ini.
Namun satu cubaan untuk menyeludup keluar minyak dapat dipatahkan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja kira-kira 12:30 tengah hari apabila mereka menahan sebuah kenderaan dan pada pemeriksaan awal didapati tangki minyak kereta berkenaan diubahsuai dan dipercayai untuk diseludupi keluar melalui Pos Kastam Kuala Lurah hari ini.
Ketika kereta berkenaan ditahan, empat pegawai dari Bahagian Pencegahan dan Perisikan mendapati kira-kira 258 liter minyak hendak diseludupi keluar oleh seorang warga asing berumur 40 tahun yang disyaki untuk diniagakan.
Semua minyak dan kenderaan yang digunakan dirampas manakala lelaki terbabit ditahan untuk disoal siasat yang kemudiannya dibebaskan setelah siasatan dibuat dengan menggunakan jaminan kastam.
Menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja; tertuduh akan didakwa di bawah bab 140 Perintah Kastam 2006.
Jabatan Kastam dan Eksais Diraja merakamkan terima kasih atas maklumat yang disalurkan dan terus menyeru orang ramai supaya melaporkan segera kegiatan penyeludupan barang tegahan dan larangan kastam ke talian hotline kastam 8714422 dan 2382422.