Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ubat pertama rawat anak damit hidap malaria diluluskan

    GENEVA, 10 JULAI – Pihak berkuasa produk perubatan Switzerland telah memberikan kelulusan pertama bagi ubat malaria yang direka khusus untuk anak damit, satu pencapaian penting dalam usaha membanteras penyakit yang meragut ratusan ribu nyawa setiap tahun hampir semuanya di Afrika.

    Swissmedic pada Selasa meluluskan ubat keluaran syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di Basel, Novartis, untuk rawatan anak damit yang mempunyai berat badan antara dua hingga lima kilogram. Langkah itu dijangka membuka jalan kepada negara-negara Afrika yang paling terkesan untuk mengikut jejak dalam beberapa bulan akan datang.

    Pihak agensi menyatakan bahawa keputusan itu amat bermakna kerana ia merupakan kali ketiga sahaja mereka meluluskan rawatan di bawah proses kelulusan pantas, yang dilaksanakan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membantu negara membangun mendapatkan rawatan penting.

    Ubat yang baru diluluskan itu, Coartem Baby, merupakan gabungan dua ubat antimalaria. Ia adalah versi dos rendah daripada tablet yang sebelum ini telah diluluskan untuk kumpulan umur lain, termasuk kanak-kanak yang lebih besar.

    Dr Quique Bassat, pakar malaria yang tidak terlibat secara langsung dengan kajian pihak berkuasa Switzerland itu, berkata beban malaria dalam kalangan anak damit sangat muda adalah ‘agak rendah’ berbanding kanak-kanak yang lebih besar. Namun begitu, katanya, akses kepada rawatan masih penting bagi semua.

    “Tidak syak lagi bahawa setiap kanak-kanak tanpa mengira umur lebih-lebih lagi yang sangat muda atau sangat ringan memerlukan rawatan,” ujar Bassat, yang juga Pengarah Institut Kesihatan Global Barcelona (ISGlobal).

    Sehingga kini, ubat antimalaria yang direka untuk kanak-kanak lebih besar telah digunakan kepada anak damit dengan berhati-hati bagi mengelakkan dos berlebihan atau toksik.

    Bassat menyifatkan pendekatan itu sebagai ‘penyelesaian yang kurang ideal’ dan berharap ubat baharu itu dapat memperbetulkan keadaan tersebut. – AP

    Gambar fail seorang ibu memegang anaknya semasa menerima vaksin malaria di Kenya Barat. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda