Ubat tiruan banjiri pasaran Afrika

LOME – Selepas beliau dijangkiti malaria dan demam kepialu, kelasi Togo Ayawo Hiewi fikir beliau akan sembuh apabila beliau mulai mengambil ubat yang dipreskripsikan oleh doktornya.

Namun sebaliknya, ubat yang diberikan kepadanya di klinik menjadikan keadaannya lebih teruk, akhirnya menyebabkan kerosakan pada salah satu buah pinggangnya.

Ubat yang diberikan adalah ubat tiruan.

“Selepas menerima penjagaan selama empat hari, tidak adanya perubahan, tetapi saya mula rasa sakit di bahagian perut saya,” beritahu Hievi, 52, kepada AFP.

Selepas menderita selama dua minggu, beliau tidak dapat berjalan dan dikejarkan ke hospital universiti di ibu negara Afrika Barat Lome.

Ubat yang dijual di sepanjang jalan di Lagos pada 11 Januari 2020. – AFP
Ubat-ubat dipamerkan untuk dijual di sebuah farmasi. – AFP
Beberapa karton ubat tiruan yang dirampas dibakar di tapak buangan Shagamu di negeri Ogun, barat daya Nigeria. – AFP

“Doktor memberitahu saya buah pinggang saya telah rosak…kuinin dan antibiotik yang digunakan untuk merawat saya di pejabat perubatan merupakan ubat tiruan.”

Sekarang, lebih empat tahun kemudian, beliau masih lumpuh akibat kerosakan buah pinggang dan terpaksa mengunjungi hospital untuk menjalani dialisis.

Kisah Hievi yang mengerikan bukan unik di sebuah benua yang dipenuhi dengan ubat tiruan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 100,000 orang di seluruh Afrika meninggal dunia setiap tahun akibat mengambil ubat ‘tiruan’ atau ‘substandard.’

Persatuan Ubat Tropika Amerika meramalkan pada tahun 2015, 122,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun dijangka mengambil ubat anti-malaria bermutu rendah di Afrika sub-Sahara.

Undang-undang lemah, sistem penjagaan kesihatan lemah dan kemiskinan berleluasa telah merangsang pertumbuhan pasaran ini. Sejak 2013, Afrika telah membentuk 42 peratus daripada ubat tiruan yang dirampas di seluruh dunia.

Kedua-dua ubat kemungkinan besar terlalu lama atau antibiotik tiruan dan anti-malaria yang tidak efektif, kata pakar.

Ubat palsu bukan sahaja menimbulkan risiko kepada pesakit, mereka juga memainkan peranan yang membimbangkan dalam membina ketahanan terhadap ubat penting.

Dalam usaha untuk mengatasi masalah tersebut, presiden dari tujuh negara – Republik Congo, Gambia, Ghana, Niger, Senegal, Togo dan Uganda – bertemu pada Jumaat di Lome untuk menandatangani satu perjanjian untuk menjadikan penyeludupan ubat tiruan satu jenayah.

Ia bertujuan merangsang kerjasama di antara kerajaan dan menggalak negara Afrika lain menyertai inisiatif itu.

Namun walaupun jika pemimpin memeterai perjanjian, tugas untuk menghapus aliran ubat tiruan adalah besar.

Ubat yang disimpan dalam beg plastik atau ditawarkan di gerai cabuk dijual di pasaran di seluruh Afrika Barat.

Ubat yang dijual di tepi jalan selalunya lebih murah berbanding yang dijual di farmasi yang lebih terkenal di mana kawalan adalah lebih ketat dan bekalan perlu datang daripada saluran rasmi.

“Adalah amat sukar untuk menjejaki di mana datangnya ubat tiruan,” kata Dr Innocent Kounde Kpeto, presiden persatuan farmasi Togo.

“Negara-negara yang disebut dalam kotak selalunya bukan negara asal atau pengeluar ubat berkenaan. Pengeluar menyembunyikan jalan mereka supaya tidak dikesan.”

Dianggarkan di antara 30 dan 60 peratus daripada ubat yang dijual di Afrika adalah palsu dan Kpeto berkata kebanyakannya datang dari China atau India.

Usaha untuk menghentikan aliran barangan tiruan telah mencatat beberapa kemajuan.

Beberapa pusat penyeludupan telah diroboh, seperti pasaran Adjegounle di Cotonou yang berfungsi sebagai pintu masuk utama untuk ubat tiruan yang menuju ke negara jiran Nigeria.

Pada pertengahan November, polis di Ivory Coast membuat rampasan 200 tan di Abidjan dan menahan empat suspek termasuk seorang warga China.

Togo ialah salah sebuah negara perintis yang cuba menghentikan aliran tersebut.

Ia meminda undang-undang pada 2015 dan kini penyeludup boleh menghadapi hukuman penjara 20 tahun dan didenda AS$85,000.

Dalam menunjukkan perpaduan pada Julai, pihak berkuasa membakar lebih 67 tan barangan farmaseutikal tiruan yang ditemui.

Walaupun kejayaan yang dicapai baru-baru ini, mereka dalam industri seperti Dr Kpeto menegaskan ancaman masih serius dan membabitkan ‘rangkaian penjenayah yang amat teratur.’

“Fenomena yang wujud tetap besar,” kata beliau. Penyeludup boleh menukar pelaburan berjumlah AS$1,000 kepada keuntungan sebanyak AS$500,000, dakwa beliau.

Ubat tiruan diseludup dalam cara yang sama seperti senapang atau narkotik dan sering membawa hasil pulangan yang lebih tinggi.

Nigeria, negara paling ramai penduduk di Afrika dengan pasaran 200 juta orang, adalah destinasi nombor satu di benua untuk ubat tiruan dan menjadi bukti tentang kesukaran yang sedang dihadapi.

Pada September 2016, Pertubuhan Kastam Sedunia merampas berpuluh juta pil dan ubat tiruan di 16 pelabuhan di seluruh Afrika: 35 peratus adalah untuk disalur ke Nigeria.

Di seluruh negara besar itu, terdapat puluhan ribu peniaga yang menjual barangan tiruan.

Persaingan di antara penyeludup adalah sengit dan agensi rasmi yang ditubuhkan untuk memerangi masalah itu dibebani pelbagai halangan.

Dalam usaha untuk mempertingkat keadaan, Vivian Nwakah menubuhkan firma baharu Medsaf pada 2017 dan mengumpul AS$1.4 juta untuk membantu warga Nigeria menjejaki ubat mereka daripada pengeluar kepada pengguna.

“Negara tidak mempunyai rangkaian pengagihan yang boleh dipercayai,” kata beliau.

“Sebuah hospital ada kalanya terpaksa berurusan dengan 30 atau 40 pengedar untuk semua ubat yang diperlunya. Bagaimanakah anda mempunyai kawalan kualiti dengan begitu banyak pembekal?”

Akibatnya, ubat tiruan bukan sahaja membanjiri pasaran tetapi juga farmasi dan hospital, kerajaan dan swasta.

Kadangkala, tanpa pentadbir hospital menyedari, ia bermakna ubat yang sampai kepada pesakit boleh jadi sudah luput tarikh, disimpan dengan tidak baik atau dos yang salah.

Medsaf berusaha untuk memastikan kawalan kualiti ribuan produk di lebih 130 hospital dan farmasi di Nigeria. Ia tidak sabar-sabar untuk berkembang ke Nigeria serta Ivory Coast dan Senegal.

Syarikat itu menggunakan teknologi, pengurusan pangkalan data dan analisis untuk mengawasi pergerakan ubat dan mengesahkan nombor pendaftaran rasmi mereka, tarikh luput dan keadaan simpanan.

“Teknologi yang kami guna boleh membantu menyelesai kebanyakan isu berkaitan dengan ubat tiruan,” kata Nwakah.

“Orang mati sia-sia. Kami boleh mengubah keadaan ini. – AFP