Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Negara Brunei Darussalam secara aktif mengurus warisan semula jadinya selaras dengan dasar negara Wawasan Brunei 2035, menekankan pentingnya kemampanan bagi kehidupan berkualiti tinggi.

Negara Brunei Darussalam komited untuk meningkatkan simpanan hutannya kepada sekurang-kurangnya 55 peratus dengan lebih 185,000 pohon pokok ditanam di bawah Program Pemulihan Hutan dan Penghijauan, membawa lebih dekat kepada sasaran 2035 serta memelihara perkhidmatan ekosistem mustahak.
Perkara itu dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hazri Kifle dalam kata alu-aluannya di Sidang Kemuncak Kemapanan Borneo Brunei (BBSS) and Panel Hari Bumi yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD, hari ini.
Beliau menyatakan bahawa di UBD, kemampanan merupakan paksi kepada misinya, tertanam dalam penyelidikan, pengajaran, operasi dan jangkauannya, dibimbing oleh Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kakitangan dan pelajar UBD mengendalikan penyelidikan canggih dalam biodiversiti, kedayatahanan iklim dan teknologi mampan di mana ia sering dilaksanakan bersama rakan-rakan kongsi antarabangsa.
UBD, tambahnya lagi, secara aktif bekerjasama untuk memajukan pelancongan mampan, pemuliharaan biodiversiti dan kedayatahanan iklim, terlibat secara mendalam dengan inisiatif Nadi Borneo serta menghargai ilmu pengetahuan asli bagi pembangunan mampan.
Dr Hazri turut menyatakan UBD amat berbangga kerana dapat menghoskan BBSS, sebuah inisiatif tiga buah negara yang menyatukan Brunei, Malaysia dan Indonesia.
Beliau berkata perjumpaan itu menumpukan kepada merangka sebuah masa depan mampan bagi Borneo dengan mengumpulkan penggubal dasar dan saintis unggul dengan matlamat untuk menghasilkan sebuah penilaian berasaskan sains yang komprehensif mengenai hutan hujan Borneo, biodiversiti dan cabaran-cabaran sosioekonomi, mengintegrasikan penyelidikan dengan ilmu pengetahuan tempatan untuk memandu dasar, membimbing pelaburan pemuliharaan dan merangsang tindakan kolektif.
Acara diteruskan dengan panel perbincangan, Panel Hari Bumi yang mengetengahkan perbincangan di bawah tema Tenaga Kita, Planet Kita.
Panel berkenaan mengetengahkan pembentang-pembentang terbilang termasuk Naib Presiden bagi Asia dan Ketua Kuala Lumpur Office of the Sustainable Development Solutions Network (SDSN), Profesor Dr Woo Wing Thye, Profesor Dr Mazlin Mokthar, Profesor Dr Jatna Supriatna dan Dr Waidah Hakimah binti Haji Sumardi dari UBD dengan moderator, Profesor Dr Basilios Tsikouras.
Ahli-ahli panel perbincangan mengemukakan hujah dan berkongsi pandangan yang berharga mereka mengenai kemampanan dan kuasa tindakan kolektif bagi masa depan bumi.
BBSS telah dihoskan oleh UBD dengan mengumpulkan pakar-pakar kemampanan dari Indonesia, Malaysia dan Brunei bermula 21 hingga 22 April.
Sidang kemuncak berkenaan menyediakan sebuah platform penting bagi kolaborasi, perkongsian ilmu pengetahuan dan perancangan strategik untuk menangani isu-isu utama alam sekitar dan sosioekonomi yang dihadapi rantau Borneo, dengan matlamat untuk merangka Laporan Penilaian Borneo.
Sidang berakhir hari ini itu, diisikan dengan bengkel-bengkel, perbincangan dan pembentangan produktif meliputi pelbagai sektor dengan topik-topik seperti geografi, flora, fauna, pertanian mampan dan pembangunan ekonomi.
Sesi berkenaan bermatlamat untuk mengenal pasti cabaran-cabaran kemampanan serantau dan membangunkan strategik tindakan bagi menanganinya, sambil memupuk kerjasama dan rangkaian yang lebih kukuh serantau.
Sidang kemuncak berkenaan telah berjaya untuk menghasilkan rangka draf pertama Laporan Penilaian Borneo, mengenal pasti keutamaan bagi setiap kluster dan mengukuhkan usaha kolaboratif untuk memastikan pembangunan mampan di serata Borneo.