Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD alu-alukan 1,057 pelajar baharu

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Seramai 1,057 orang pelajar baharu Universiti Brunei Darussalam (UBD) pengambilan pertama bagi tahun akademik 2021/2022 dialu-alukan dalam Freshers Week yang bermula hari ini.

    Pelajar baharu sesi 2021/2022 itu terdiri daripada 45 dalam program PhD, 234 mengikuti program Sarjana, 644 orang di peringkat sarjana muda dan 114 orang lagi dalam program UniBridge.

    Majlis pelancaran Freshers Week berkenaan telah diadakan di Dewan Canselor UBD di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz yang menyaksikan lafaz ikrar pelajar baharu.

    Pada majlis itu, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina dalam ucapanya mengingatkan mengenai tugas sebagai mahasiswa dan mahasisiwi UBD sepanjang pengajian untuk mengangkat nama baik universiti selain meningkatkan kecemerlangan universiti dan belajar menjadi pemangkin bangsa pada masa hadapan.

    Beliau berkata, Freshers Week itu juga menandakan bermula perjalanan ke arah kedewasaan, perjalanan transformatif yang akan membentuk pelajar sebagai individu daripada aspek intelektual dan sosial.

    “Di UBD, kami menggalakkan semua untuk berkomunikasi di antara satu dengan yang lain yang mana Freshers Week ini merupakan peluang yang baik untuk mengetahui mengenai universiti seperti kampus, kemudahan, program, modul, aktiviti dan juga perkhidmatan,” jelasnya. Sejurus pelancaran Freshers Week, pelajar dibahagikan mengikuti fakulti masing-masing untuk diperkenalkan kepada ahli-ahli fakulti seterusnya mendengar penerangan mengenai subjek fakulti dan modul termasuk yang berkaitan dengan akademik.

    Di samping itu, pelajar baharu juga menghadiri program kesedaran HIV untuk program Peers & Youth (HAPPY) yang dianjurkan oleh Majlis AIDS Brunei Darussalam selain mendengar taklimat mengenai kesedaran gangguan seksual yang disampaikan oleh Timbalan Penguasa Polis, DSP Dayang Norkhatijah binti Haji Zainal dari Unit Siasatan Wanita dan Penderaan Kanak-Kanak.

    Manakala itu, lawatan ke kampus akan diadakan esok selain lawatan ke Kompleks Sukan UBD seterusnya menyertai aktiviti yang diadakan.

    Pelajar baharu UBD melafazkan ikrar semasa majlis tersebut. – Gambar oleh Izah Azahari
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda