UBD alu-alukan pelajar baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengalu-alukan kemasukan seramai 1,078 pelajar baharu, termasuk 74 pelajar antarabangsa, yang merangkumi 35 pelajar doktor falsafah, 222 pelajar sarjana, 644 pelajar sarjana muda, dan 177 pelajar Unibridge, bagi pengambilan Ogos 2020/2021.

Penerimaan pelajar tersebut diadakan semasa UBD Freshers Week yang diadakan khas untuk mengalu-alukan semua pelajar tahun satu dan juga pelajar siswazah ke komuniti UBD.

Melalui aktiviti interaktif dan bermaklumat selama seminggu, Freshers Week akan mewujudkan suasana yang selesa di mana pelajar dapat meneroka pelbagai peluang yang ditawarkan oleh UBD ketika bertemu rakan baharu, tenaga pengajar serta pemilihan modul yang tepat untuk menyelesaikan program mereka.

Pada tahun ini, UBD Freshers Week akan diadakan secara maya selama empat hari, bermula hari ini hingga 30 Julai. Acara dimulakan dengan Majlis Perasmian Freshers Week dan ucapan daripada Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

Sepanjang tiga hari pertama Freshers Week, para pelajar dapat mengakses maklumat penting untuk pengajian mereka di UBD daripada taklimat melalui CANVAS.

Topik-topik yang dibincangkan semasa taklimat akan merangkumi program GenNEXT, biasiswa kerajaan Brunei, pendaftaran modul, peperiksaan, fakulti-fakulti, keselamatan dan sekuriti universiti dan lain-lain.

Hari terakhir Freshers Week akan diadakan sesi soal jawab secara langsung di mana pelajar boleh mengemukakan soalan terus kepada fasilitator bagi meningkatkan pemahaman mereka mengenai UBD.

UBD Freshers Week diadakan sebelum bermulanya semester baharu dan dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan sokongan Majlis Perwakilan Pelajar dan sukarelawan.

Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengalu-alukan kemasukan seramai 1,078 pelajar baharu bagi pengambilan Ogos 2020/2021. – Gambar serahan UBD