BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Berkuat kuasa 28 Mei, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mula mengambil langkah de-escalation selaras dengan pelan kerajaan untuk melonggarkan sekatan-sekatan COVID-19 di negara ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, bermula kelmarin, semua kakitangan dan pelajar diperlukan mengimbas kod QR BruHealth sebaik masuk dan keluar bangunan-bangunan di kampus di mana pemeriksaan suhu badan telah dijalankan.
Pemangku Pendaftar dan Setiausaha, Hajah Joanna binti Haji Yacob dipetik menjelaskan bahawa ini adalah perlu dan penting untuk memudahkan pengesanan kontak terutamanya dengan sifat program-program pendidikan dan penyelidikan antaradisiplin di universiti berkenaan, di mana ramai orang bergerak dari fakulti, institusi dan pusat berbeza.
Menurutnya lagi, langkah pelonggaran berkenaan akan dijalankan secara berfasa dan akan mengikuti nasihat dan garis panduan Kementerian Kesihatan.
“UBD akan membuat persediaan-persediaan yang perlu untuk memastikan keselamatan komunitinya,” tambah beliau.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa bermula 2 Jun depan, UBD akan mula membenarkan semua sesi praktikal dan makmal di kampus.
Dengan mahasiswa-mahasiswi program sarjana muda telah menamatkan kelas-kelas mereka, sesi-sesi berkenaan akan lebih relevan kepada pelajar-pelajar sarjana dan penyelidik.
Bagaimanapun, sesi-sesi berkenaan mestilah tidak melebihi 30 peratus kapasiti maksimum bilik, seperti yang telah ditetapkan.
Perpustakaan UBD pula akan terus beroperasi seperti jadual pada masa ini di samping perkhidmatan terhad dan dalam talian yang ditawarkan. Di samping itu, perpustakaan juga mengehadkan jumlah pelawat pada satu masa, tidak melebihi 30 peratus kapasitinya.
UBD juga sedang menilai semula pengajaran dalam taliannya, tambah kenyataan itu lagi.
Universiti berkenaan telah melaksanakan pengajaran dalam talian sepenuhnya sejak 12 Mac, dalam tempoh tiga hari kes pertama COVID-19 dilaporkan di Negara Brunei Darussalam.
Langkah-langkah lanjut akan bergantung pada situasi COVID-19 di negara ini dan UBD akan terus memaklumkan kakitangan dan pelajarnya mengenai perkembangan selanjutnya.
Bagi sebarang pertanyaan dan maklum balas, kakitangan dan pelajar boleh menghubungi Pejabat Pendaftar menerusi e-mel office.registrar@ubd.edu.bn talian hotline UBD bagi perkara berkaitan UBD-COVID-19, 8801000.