Saturday, February 8, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD anjur Kongres Sains Bumi 15-18 Nov ini

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Universiti Brunei Darussalam (UBD) melalui Fakulti Sains (FOS) akan mengadakan Kongres Antarabangsa mengenai Sains Bumi (ICES 2017), pertama sejenisnya di Asia Tenggara, pada 15 hingga 18 November depan di Bangunan Tambahan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’datul Bolkiah.

    Menurut kenyataan UBD, speaker-speaker plenari berkaliber akan menyertai kongres tersebut untuk membentangkan hasil-hasil penyelidikan terkini mereka.

    Antara speaker antarabangsa berkenaan ialah Pengarah Kumpulan Penyelidikan Asia Tenggara di Royal Holloway University of London, United Kingdom, Profesor Robert Hall yang akan menyampaikan ucaptama.

    Profesor Federica Zaccarini dan Profesor Giorgio Garuti, kedua-duanya dari Montanuniversität Leoben, Austria akan menyampaikan ucapan plenari dan menganjurkan bengkel.

    Di samping itu, Profesor Peter Baumgartner dari Université de Lausanne, Switzerland akan membentangkan evolusi dua lautan besar purba yang memberi kesan ke atas pembentukan bumi.

    Akhir sekali, perwakilan industri penting, Gijs Holstege dari Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) akan menyentuh mengenai perkembangan terkini dalam industri petroleum.

    Menurut kenyataan itu, setakat ini, lebih 300 peserta dari 106 institut akademik dan penyelidikan atau syarikat-syarikat, dari 27 buah negara termasuk rantau-rantau seperti Asia, Eropah dan Afrika telah mendaftar. Saintis-saintis tempatan dan antarabangsa akan membentangkan 240 kertas penyelidikan dan 37 pembentangan akan disampaikan oleh maha-siswa-mahasiswi UBD.

    Kertas-kertas saintifik terpilih daripada ICES 2017 akan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa ‘Geosciences’.

    Maklumat lanjut mengenai kongres berkenaan boleh didapati di laman sesawang http://fos.ubd.edu.bn/foscon.

    Acara berkenaan disokong oleh beberapa buah syarikat seperti BSP, Unitek Sdn Bhd, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), GHK Motors Sdn Bhd dan lainnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda