Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD anjur Tadabbur Al-Quran Perdana

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Sempena Sambutan Ilal Hijrah 1445, Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini telah mengadakan Tadabbur Al-Quran Perdana yang berlangsung di Masjid Universiti, UBD.

    Majlis turut menyaksikan perasmian Misi Berbagi yang turut diadakan bagi menyemarakkan Sambutan Ilal Hijrah, dengan disempurnakan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle selaku tetamu kehormat.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan Sesi Talaqqi Al-Quran bagi pelajar-pelajar baharu kemasukan Ogos 2023 dan penyelarasan bagi Misi Berbagi.

    Misi Berbagi memberikan peluang kepada warga UBD untuk turut bersedekah makanan kepada pekerja buruh di UBD, yang mana projek berkenaan akan diusahakan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

    Majlis diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Hijrah Satu Anugerah’ telah disampaikan oleh penceramah undangan, Penolong Profesor Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam Universiti Islam Sultah Sharif Ali (UNISSA), Dr Kamarussalam bin Yusof.

    Ceramah bertujuan untuk berkongsi ilmu dan input bagi mengukuhkan dan memantapkan pengetahuan dan menghayati penghijrahan Rasulullah.

    Di samping itu, ia juga sebagai wadah pembentukan dan pembangunan insan syumul khusus bagi pelajar di universiti yang beragama Islam kerana mereka adalah aset yang akan menerajui generasi akan datang.

    Ceramah berkenaan turut dihadiri oleh pegawai, pensyarah, orang awam, jemaah Takmir Masjid Universiti dan siswa dan siswi termasuk para pelajar baharu.

    Majlis berkenaan diselajurkan dengan majlis berdikir bagi meraikan saudara baharu yang merupakan pelajar UBD, Andy Joshua Apollo yang kini dikenali dengan Junaid Al Ghazali bin Muhammad Fadhillah.

    Majlis diakhiri dengan Doa Kesyukuran dan Doa Selamat bagi kemasukkan pelajar baharu dan pengislaman oleh Pegawai Ugama UKKM-HEP, UBD, Haji Muhammad Dzulhilmi bin Haji Moharefandi.

    Dr Hazri menyampaikan sedekah dalam Misi Berbagi kepada salah seorang pekerja UBD semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Dr Hazri merasmikan Misi Berbagi UBD semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Antara tetamu yang hadir semasa majlis berkenaan. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda