Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD-AUN buka tirai program perkhemahan musim panas

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Universiti Brunei Darussalam – ASEAN University Network (UBD-AUN) Summer Camp 2024 hari ini telah membuka tirainya dengan majlis perasmian yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis perasmian perkhemahan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad yang dialu-alukan oleh Naib Canselor, UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.

    Dalam ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengarah Perhubungan Antarabangsa 2, Pejabat Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Antarabangsa) UBD, Dr Mohammad Khairul Zarifi bin Haji Masri antaranya mengongsikan UBD-AUN Summer Camp 2024 ialah sebahagian daripada siri perkhemahan musim panas yang diadakan oleh beberapa universiti ahli AUN sepanjang musim panas ini.

    Jelasnya lanjut, UBD berbesar hati untuk menjadi antara yang pertama memulakan siri kem musim panas ini di seluruh ASEAN dengan membawa tema berjudul Green Horizons: Harnessing Digital Transformation for Biodiversity and Sustainable Development.

    Dr Mohammad Khairul turut membicarakan krisis iklim berterusan yang mengancam ekosistem planet dan memerlukan perlindungan biodiversiti dan ekosistem.

    Dalam pada itu, Dr Mohammad Khairul turut menyatakan penyatupaduan di bawah panji ASEAN, One Vision, One Identity, One Community membolehkan kerjasama merentasi sempadan dan mencipta perubahan positif.

    Majlis perasmian berkenaan turut diisi dengan persembahan kebudayaan dan perkongsian motivasi mengenai topik Youth Empowerment in ASEAN: Futuring Together yang disampaikan oleh pengasas bersama, Hand4Hand Brunei dan penerima Hadiah ASEAN 2022, Haji Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Damit.

    Acara perkhemahan ini disertai lebih 100 pelajar dari 30 universiti ahli AUN, yang mana UBD merupakan salah satu ahli pengasas AUN sejak November 1995. Perkhemahan musim panas ini akan diadakan selama 14 hari dan diakhiri dengan majlis penutup pada 12 Jun, di mana pelajar akan membentangkan hasil akhir mereka mengenai topik seperti Bandar Pintar dan Biodiversiti, AI dan Penderiaan Jauh untuk Pemantauan dan Pemeliharaan Biodiversiti, Blockchain dan Rantaian Bekalan Mampan, dan Perkembangan Baru dalam Sains Pemuliharaan. Selain itu, pelajar juga akan mengambil bahagian dalam aktiviti persiaran seperti pembersihan pantai dan Majlis Penanaman Pokok Green Horizons.

    Gambar ramai tetamu kehormat majlis dan para peserta. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dr Mohammad Khairul semasa menyampaikan ucapan alu-aluan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Haji Muhammad Iqbal semasa menyampaikan sesi perkongsian motivasi. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara persembahan kebudayaan yang diadakan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda