Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD, BSP anjur kem pupuk kesedaran, kelestarian alam sekitar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER), Universiti Brunei Darussalam telah menganjurkan Kem Alam Semula Jadi di Pusat Kajian Lapangan Kuala Belalong (KBFSC) dari 2 hingga 6 Disember lalu.

    Kem berkenaan yang julung kali diadakan itu disertai oleh 13 pelajar sekolah menengah dengan pencapaian akademik yang cemerlang dan ditaja sepenuhnya oleh Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP) serta disokong oleh Jabatan Sekolah di Kementerian Pendidikan.

    Antara pengisian kem adalah menambah pemahaman peserta tentang hutan hujan tropika Brunei dan biodiversiti serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar global yang kian mendesak seperti perubahan iklim dan kelestarian.

    Sebelum pelajar berlepas ke KBFSC, IBER telah mengadakan acara pelepasan pada 2 Disember lalu yang dihadiri oleh Pemangku Pengurus Komunikasi & Hal Ehwal Luar BSP, Muhammad Haziq Abdullah Lim.

    Semasa di KBFSC, peserta dibawa meneroka hutan dan menghadiri bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator dan pakar berpengalaman dari IBER dan BSP.

    Selain itu, peserta turut memperoleh pemahaman mendalam tentang ekosistem hutan hujan dan strategi pemuliharaan serta memupuk rasa tanggungjawab terhadap warisan semula jadi Brunei.

    Penajaan BSP terhadap aktiviti berkenaan menggariskan komitmen syarikat untuk memupuk penjagaan alam sekitar dan pembangunan pemimpin masa depan Brunei.

    Pengisian kem berkenaan pula adalah daripada inisiatif pendidikan IBER seperti Pengalaman Penyelidikan Tropika (TREx), Bilik Darjah Alam Semula Jadi, Pengawasan Biodiversiti dan Program Pendidikan Alam Sekitar di KBFSC.

    Program-program sedemikian menekankan dedikasi dan sumbangan IBER kepada matlamat kemampanan nasional dan antarabangsa, termasuk Wawasan 2035 dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Kejayaan melaksanakan aktiviti berkenaan membuktikan usaha kolaboratif dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar dan meningkatkan pengalaman pembelajaran alam semula jadi untuk belia Brunei.

      Antara aktiviti-aktiviti semasa kem alam sekitar berkenaaan. –  GAMBAR –GAMBAR SERAHAN UBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda