Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Universiti Brunei Darussalam (UBD) terus mencatatkan perkembangan dan pencapaian signifikan di mana dalam ranking terkini, Times Higher Education (THE) Best Small Universities in The World 2023, UBD berada di kedudukan ke-16.
Ia merupakan satu pencapaian yang penting bagi UBD di mana untuk layak bagi kategori berkenaan, universiti-universiti tersenarai harus mengajar lebih daripada empat mata pelajaran dan mempunyai kurang daripada 5,000 orang pelajar.
Dalam hubungan itu, UBD berada di tempat pertama di Asia Tenggara dan dalam kalangan universiti di bawah usia 50 tahun, iaitu THE Young University Rangkings 2023, UBD berada di tempat kedua di rantau ini manakala itu, ia juga berada di kedudukan ke-68 di dunia.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, menurut ranking terkini, THE World University 2023, UBD telah naik kepada kedudukan 301 hingga 350 daripada tahun sebelumnya iaitu kedudukan 351 hingga 400.
Dalam THE Asia University Rankings 2023, UBD juga naik daripada kedudukan 62 kepada kedudukan 60. Dalam THE World University Rankings, UBD menunjukkan pencapaian cemerlang dalam pengajaran, penyelidikan dan pendapatan industri yang menunjukkan kualiti tinggi pengajarannya, impak penyelidikan yang dikendalikan serta juga keupayaan keusahawanan universiti berkenaan.
Sementara itu, dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024, yang telah diterbitkan baru-baru ini, UBD berada di kedudukan 387 secara global.
Ranking boleh digunakan sebagai satu peralatan yang berguna dalam penilaian kualiti graduan dan dalam usaha berterusan untuk menarik pelajar ke universiti berkenaan khususnya pelajar antarabangsa. Oleh itu, UBD terus berusaha memastikan program dan kurikulumnya adalah terkini selaras dengan keperluan global.
Menurut trend terkini dalam pasaran pekerjaan, terdapat permintaan yang meningkat bagi graduan-graduan dalam bidang sains digital iaitu yang termasuk jawatan yang pakar dalam analisis data, kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin.
UBD sering kali mengkaji semula kurikulumnya, menumpukan pada merangka sebuah kurikulum yang bukan sahaja menyediakan graduan-graduannya bagi pekerjaan yang terdapat pada masa ini tetapi juga bagi pekerjaan yang mungkin wujud dalam masa depan terdekat.
Pengkajian semula berterusan berkenaan meliputi bidang-bidang seperti penilaian teknik penyampaian terkini, pembelajaran sepanjang hayat serta juga pembelajaran berasaskan pengalaman.
Pihak universiti juga secara aktif berusaha mendapatkan akreditasi antarabangsa bagi program-program yang ditawarkannya di mana usaha itu adalah amat penting bagi memastikan program-program yang ada memenuhi keperluan pelajar dan bakal-bakal majikan.
UBD sebagai institusi penyelidikan unggul di Negara Brunei Darussalam juga meletakkan keutamaan pada pemuliharaan dan kemampanan. Dalam hubungan itu, kajian mengenai komposisi komuniti dan diversiti pokok di hutan-hutan tanah rendah Brunei merupakan tumpuan utama dalam penyelidikan oleh Institute for Biodiversity and Environmental Research (IBER) khususnya melalui rangkaian plot kekal di serata Negara Brunei Darussalam.
Projek berkenaan menumpukan kepada tiga komuniti pokok dalam tiga jenis hutan di Brunei Darussalam di mana ia akan terus memantau diversiti, pertumbuhan dan dinamik jenis-jenis hutan berbeza di Brunei dalam menyokong usaha kebangsaan negara bagi mengukur stok karbon hutan dan impak perubahan iklim kepada hutan kita.
Hasil dapatan kajian berkenaan adalah amat penting dalam membantu Negara Brunei Darussalam berusaha ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 15 – Melindungi Kehidupan di Darat, khususnya usaha ke arah melindungi habitat semula jadi dan biodiversiti Brunei.
UBD juga telah berjaya memasuki QS Sustainability Rankings pada 2023 yang menunjukkan lagi impak penyelidikan yang dikendalikan di universiti berkenaan khususnya menerusi kerjasama rapat dengan universiti-universiti rakan kongsi unggul di serata dunia.