BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan dalam pelbagai bidang kepentingan bersama, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan City University of Hong Kong (CityUHK) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian pertukaran pelajar pada majlis penandatanganan yang berlangsung di UBD.
Menandatangani bagi pihak UBD ialah Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Presiden Profesor Freddy Boey bagi pihak CityUHK. Turut hadir ialah pengurusan kanan dan kakitangan UBD dan CityUHK.
UBD dan CityUHK pertama kali menandatangani MoU pada Mei 2023 yang memfokuskan pada kerjasama dalam bidang pemindahan teknologi, pengkomersialan dan pemadanan perniagaan melalui Pertandingan Firma Permulaan HK Tech 300 Asia Tenggara.
Perkongsian itu membuahkan hasil yang positif, termasuk peserta pelajar diberikan akses kepada program Sarjana eksklusif CityUHK MSc Venture Creation, dan penggunaan amalan terbaik untuk pendidikan keusahawanan dan inovasi.
Dengan termeterainya MoU dan perjanjian tersebut, UBD akan mula menghantar pelajar Tahun Discovery untuk menyertai program yang dianjurkan.

Tahun Discovery UBD adalah tahun di luar universiti di mana pelajar UBD menghabiskan tahun ketiga mereka dengan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman, dan kemudian kembali ke UBD untuk melengkapkan tahun akhir ijazah Sarjana Muda mereka.
Selain itu, UBD juga bersedia menerima pelajar CityUHK untuk program pertukaran semesternya.
Selepas majlis penandatanganan, delegasi CityUHK melawat beberapa kemudahan makmal di kampus di mana mereka diberi taklimat mengenai pelbagai aktiviti penyelidikan dan pendidikan yang dijalankan.
Delegasi itu juga mengunjungi Pusat Penyelidikan Botani UBD (UBD BRC), dibimbing oleh Pengarah Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) UBD, Dr Hussein bin Haji Taha.
CityUHK disenaraikan dalam 62 universiti terbaik dan 82 terbaik di dunia dalam kedua-dua Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2025 dan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2024.
Di Asia, universiti ini menduduki tangga ke-14 dan ke-15 universiti terbaik dalam kedudukan QS dan THE Asia University terkini.