Wednesday, September 11, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD, ERIA majukan inovasi digital, ekonomi mampan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengorak langkah memupuk inovasi digital dan pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ASEAN dan Asia Timur apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UBD dan Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, penandatanganan MoU itu menyaksikan dua buah institusi utama komited kepada memajukan ilmu pengetahuan, penyelidikan dan pembangunan dalam ekonomi digital.

    Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak UBD ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan bagi pihak ERIA ialah Ketua Pegawai Eksekutif ERIA, Koji Hachiyama.

    Mengulas mengenai kerjasama itu, Dr Hazri menekankan bahawa kerjasama antara UBD dengan ERIA adalah menerusi platform inovasi terbuka Pusat Inovasi Digital dan Ekonomi Mampan ERIA (E-DISC) yang telah dirasmikan oleh ERIA pada Ogos 2023.

    Kerjasama ini akan menumpukan kepada beberapa bidang utama termasuk penyelidikan bersama bagi inovasi digital dan teknologi, penyebaran hasil dapatan penyelidikan, pembangunan sumber manusia, penajaan bersama dan penganjuran bersama acara-acara serta kerjasama berasaskan projek fleksibel.

    Kerjasama ini turut menyediakan peluang bagi UBD dan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan keupayaan penyelidikan, menyumbang kepada penggubalan dasar serantau serta memupuk persekitaran dinamik bagi inovasi digital dan pertumbuhan ekonomi mampan.

    Sementara itu, Koji Hachiyama turut menyuarakan sentimen yang serupa dengan keterujaannya untuk bekerjasama dengan UBD. Beliau percaya kerjasama dan inisiatif ini akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada Negara Brunei Darussalam tetapi juga kepada serata ASEAN dan rantau Asia Timur.

    MoU ini turut menjadi mercu tanda utama bagi UBD dan Negara Brunei Darussalam dengan meningkatkan keterlihatan dan kedudukan universiti itu di dalam komuniti penyelidikan dan akademik antarabangsa.

    Selain itu, ia membuktikan komitmen UBD untuk memajukan inisiatif pemikiran selaras dengan visi negara iaitu kepelbagaian ekonomi dan pembangunan mampan.

    Koji Hachiyama (kiri) dan Dr Hazri dengan MoU yang ditandatangani. – GAMBAR SERAHAN UBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda