Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD galak belia teruskan kerjaya penyelidikan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Hari Terbuka Penyelidikan berfungsi sebagai bukti komitmen Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk memajukan pengetahuan, menangani cabaran masyarakat dan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    “Kami percaya dengan membuka pintu kami kepada komuniti, boleh mewujudkan hubungan simbiotik antara universiti dan orang ramai, memupuk budaya kerjasama dan tanggungjawab bersama,” ujar Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle semasa mengulas mengenai penganjuran acara Hari Terbuka Penyelidikan UBD pada 3 hingga 4 Februari lalu.

    Dengan tema UBD Research and SDG, acara berkenaan bertujuan untuk menggariskan peranan penting penyelidikan dalam menangani cabaran masyarakat dan menggalakkan pembangunan mampan. Hal itu sekali gus bertujuan bagi mendekatkan golongan masyarakat dengan inisiatif penyelidikan universiti.

    Acara yang menghimpunkan golongan akademia, penyelidik, pelajar dan masyarakat setempat itu telah menawarkan gambaran yang mendalam tentang usaha penyelidikan UBD yang meluas dan memberikan impak.

    KE ARAH MENCAPAI OBJEKTIF

    Melalui satu siri pameran interaktif, pembentangan poster yang menarik dan aktiviti hands-on, Hari Terbuka Penyelidikan UBD bertujuan bagi mencapai beberapa objektif utama.

    Para pengunjung diberikan penerangan semasa melawat ke salah satu petak pameran sempena Hari Terbuka Penyelidikan UBD. – GAMBAR SERAHAN UBD
    ATAS & BAWAH: Antara yang dipamerkan semasa majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD

    Salah satunya ialah mempamerkan impak penyelidikan UBD di mana matlamat utama adalah untuk menyerlahkan kepentingan dan kesan penyelidikan UBD terhadap komuniti tempatan dan global.

    Para pengunjung berpeluang untuk meneroka pelbagai projek penyelidikan, merangkumi pelbagai bidang yang menyumbang secara signifikan bagi menangani cabaran kontemporari dan memajukan pengetahuan.

    Selain itu, acara berkenaan turut mencapai objektif tertentu iaitu mewujudkan minat penyelidikan dalam kalangan belia. Dengan tumpuan khusus pada sains dan kejuruteraan, acara tersebut bertujuan untuk memberikan inspirasi dan menyemarakkan rasa ingin tahu minda golongan muda. Melalui paparan interaktif, demonstrasi dan perbincangan yang menarik, UBD berusaha untuk menggalakkan belia bagi meneruskan kerjaya dalam penyelidikan dan inovasi.

    Hari Terbuka Penyelidikan UBD itu juga mencapai objektifnya menerusi usaha melibatkan komuniti setempat iaitu menyediakan platform dinamik untuk komuniti tempatan berinteraksi secara langsung dengan penyelidik, memupuk pemahaman yang lebih baik tentang proses penyelidikan dan implikasinya. Penglibatan langsung itu bertujuan bagi merapatkan jurang antara institusi akademik dan masyarakat, menggalakkan rasa tanggungjawab bersama untuk kemajuan masyarakat.

    PENEKANAN 5P DI BAWAH SDG

    Dengan menitikberatkan People, Planet, Prosperity, Peace dan Partnership (5P) di bawah SDG berfungsi sebagai rangka kerja komprehensif bagi pembangunan global, UBD menunjukkan penjajaran yang kukuh dengan prinsip-prinsip berkenaan melalui pelbagai inisiatif penyelidikan.

    Oleh yang demikian, acara utama pada hari terbuka berkenaan telah mempamerkan pelbagai projek penyelidikan, menggariskan komitmen universiti untuk menangani cabaran global yang mendesak. Daripada projek dalam pertanian pintar kepada strategi pengurusan sisa yang berkesan dan penyelesaian bagi penuaan yang sihat, pendidikan inklusif dan pengurusan tenaga mampan, portfolio penyelidikan UBD merangkumi komitmennya bagi memajukan setiap aspek 5P.

    Dengan secara aktif menangani kawasan-kawasan kritikal itu, UBD bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian pembangunan tempatan tetapi juga memainkan peranan penting dalam menangani cabaran global dan memupuk impak masyarakat yang positif.

    Sehubungan itu, Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan Khas mengenai SDG, yang diwakili oleh Sekretariat, turut berkongsi perspektifnya mengenai usaha kolektif ke arah kemampanan. Dalam satu kenyataan, mereka menekankan perlunya pihak-pihak yang berkepentingan bekerjasama untuk mencapai cita-cita masing-masing.

    Mereka berhasrat untuk melibatkan diri, mendidik dan membolehkan pelbagai sektor melalui usaha seperti localising pembangunan mampan dan mewujudkan rangkaian penyokong-penyokong SDG. Inisiatif itu adalah penting dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi usaha bersepadu ke arah memajukan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

    Menurut Ketua Sekretariat SDG Brunei, Awang Yusri bin Yahya, menyatakan dalam momentum semasa dan tahap dedikasi masyarakat kita memupuk kemampanan, Sekretariat SDG Brunei kekal optimistik dengan kejayaan bermakna dalam jangka pendek dan panjang. Kejayaan itu akan menyumbang kepada gambaran yang lebih besar ke arah merealisasikan wawasan Brunei 2035.

    Oleh yang demikian, Hari Terbuka Penyelidikan UBD bukan sahaja mempamerkan kecemerlangan penyelidikan universiti tetapi juga menekankan kepentingan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan.

    Dengan membuka dialog dan menggalakkan penglibatan, UBD secara aktif menyumbang kepada naratif kelestarian Negara Brunei Darussalam yang lebih luas. Selaras dengan visinya sebagai sebuah universiti National Relevance with Global Impact, UBD kekal di barisan hadapan dalam penyelidikan dan inovasi, secara aktif menyumbang kepada kemajuan ilmu dan kesejahteraan masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda