Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD galak kesedaran kesihatan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Minggu Sihat Universiti Brunei Darussalam 2025 masih dibuka untuk kunjungan orang ramai sehingga 25 September di CLT Foyer and Library Learning Commons, UBD Library.

    Sementara itu, perasmian Minggu Sihat UBD 2025, baru-baru ini, telah dirasmikan bersama oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif dan turut hadir di acara itu, Naib Canselor UBD Dr Hazri bin Haji Kifle.

     

    Program yang bermula pada 21 September itu bertemakan ‘Health Awareness for University Life: Take Charge, Live Healthy’ telah mencerminkan komitmen kukuh UBD dalam memupuk gaya hidup sihat, aktif dan seimbang dalam kalangan pelajar, kakitangan dan masyarakat umum.

    Antara pengisian program termasuk pemeriksaan saringan kesihatan percuma untuk pengesanan awal dan pencegahan, selain pameran dan ruang maklumat kesihatan yang berkaitan gaya hidup, pemakanan dan kesejahteraan.

    Selain itu, acara turut dimeriahkan dengan sesi kecergasan berkumpulan, persembahan kebudayaan, pertandingan bagi meningkatkan penglibatan, dan bengkel kesihatan mental yang menyentuh pengurusan tekanan dan ketahanan emosi.

    Pemangku Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah merasmikan Minggu Sihat UBD 2025. – GAMBAR SERAHAN UBD

    Di samping aspek kesihatan, acara ini turut mendekatkan komuniti UBD melalui persembahan guling tangan dan nyanyian oleh para pelajar, serta penyertaan peniaga makanan dan minuman sekali gus mewujudkan suasana kampus yang meriah dan holistik.

    Matlamat program ini adalah untuk memberikan akses kepada saringan kesihatan dan maklumat kesihatan yang tepat kepada warga kampus dan orang awam, meningkatkan kesedaran mengenai pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan pengurusan tekanan.

    Ia juga bertujuan memupuk budaya kehidupan sihat yang menyeluruh dalam kalangan warga universiti dan masyarakat luar, serta meletakkan UBD sebagai contoh teladan Universiti Sihat, seterusnya menyokong aspirasi negara di bawah Wawasan Brunei 2035.

    UBD menegaskan bahawa kesihatan yang baik adalah asas kepada kecemerlangan dalam pelajaran, kerjaya, dan kehidupan seharian.

    Dengan memperkasakan pelajar dan kakitangan untuk mengamalkan tabiat sihat, universiti berharap dapat melahirkan individu yang mampu memberi inspirasi kepada perubahan masyarakat secara lebih meluas.

    Program dianjurkan bersama oleh UniHEALTH: Centre for University Life & Wellness and Campus Asset Management & Planning for University Life (CAMPUs), sebagai platform untuk kesedaran dan tindakan.

    Gambar suasana sekitar acara tersebut.
    Dr Hajah Rafidah bergambar dengan pemenang larian. – GAMBAR SERAHAN UBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda