Wednesday, July 3, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    UBD, Green Brunei anjur aktiviti pembersihan pantai

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Green Brunei, telah menganjurkan aktiviti pembersihan pantai baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada Kem Musim Panas UBD-AUN 2024.

    Aktiviti tersebut telah diadakan di Pantai Serasa dan menyaksikan penyertaan penuh semangat daripada lebih 150 mahasiswa dari seluruh universiti ahli Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) termasuk mahasiswa dan mahasiswi UBD.

    Aktiviti berkenaan selaras dengan tema kem musim panas, Green Horizons: Harnessing Digital Transformation for Biodiversity and Sustainable Development dan bertujuan untuk menyemai rasa tanggungjawab alam sekitar dalam kalangan peserta.

    Semasa aktiviti tersebut usaha pembersihan tertumpu pada pengumpulan sampah termasuk serpihan sampah laut untuk melindungi hidupan liar tempatan dan memelihara keindahan semula jadi pantai.

    Inisiatif berkenaan secara langsung menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, termasuk, SDG 13: Tindakan Iklim; SDG 14: Kehidupan di dalam Air; dan SDG 15: Kehidupan di Darat.

    Para peserta bergambar ramai semasa menyertai aktiviti berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UBD

    “Pembersihan pantai merupakan pengalaman yang membuka mata saya,” kata Vo Ngoc Bich Huyen dari Vietnam.

    “Ia menyedarkan saya betapa pentingnya tindakan kita dalam memelihara alam sekitar dan memberi inspirasi kepada saya untuk mengambil lebih banyak inisiatif untuk melindungi planet kita,” jelasnya lagi.

    Para peserta telah berjaya mengumpul lebih daripada 200 kilogram sisa, termasuk botol plastik, tin dan serpihan lain, yang kemudiannya disisih untuk dikitar semula dan dilupuskan dengan betul.

    Kejayaan aktiviti itu menggariskan komitmen UBD dan Green Brunei untuk memupuk pembangunan mampan dan penjagaan alam sekitar dalam kalangan belia. Ia telah meninggalkan kesan yang berkekalan kepada para peserta, yang kini lebih bermotivasi untuk menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan sihat.

    Di sepanjang kem yang berlangsung selama 14 hari itu, pelajar turut menghadiri kuliah yang berkaitan dengan topik seperti Bandar Pintar dan Biodiversiti, Kecerdasan Buatan (AI) dan Penderiaan Jauh untuk Pemantauan dan Pemeliharaan Biodiversiti, serta aktiviti persiaran seperti upacara penanaman pokok dan lawatan sehari penuh untuk meneroka budaya Negara Brunei Darussalam.

    Kem tersebut bertujuan untuk memperkasakan pelajar dengan kemahiran kecekapan global dan mempromosikan pertukaran rentas sempadan antara wilayah.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kanak-kanak hilang disyaki diserang buaya di Australia

    SYDNEY, 3 JULAI - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang hilang di kawasan terpencil di utara Australia mungkin ‘diserang buaya’, kata polis pada hari...