Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD jayakan pertukaran maya kelestarian serantau

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan Program Pertukaran E-Kolektif Kelestarian 2025 dengan Temasek Polytechnic, Singapura, dan HKU SPACE Po Leung Kuk Stanley Ho Community College, Hong Kong, pada 13 September dan 27 September.

    Program pertukaran maya selama dua hari itu telah disertai oleh 30 pelajar dari ketiga-tiga buah institusi bagi bekerjasama menangani cabaran kelestarian dunia sebenar, dan ia direka bentuk untuk menggalakkan pembelajaran rentas sempadan dan inovasi.

    Pada hari pertama, pelajar telah mengikuti sesi ucaptama yang disampaikan oleh Penolong Profesor Pelancongan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), UBD, Dr Van Dao Truong, dan Pengasas ACCESS Sustainability dari Singapura, Tan Shi Zhou di mana kedua-dua penceramah telah berkongsi perspektif dari bidang akademik dan industri.

    Dalam program itu, pelajar telah dibahagikan kepada beberapa pasukan antarabangsa untuk memulakan penyelidikan mereka di mana setiap pasukan memberi tumpuan kepada salah satu daripada lima tema yang disediakan.

    Tema-tema itu ialah Ekonomi Mampan (Circular Economy), Pendidikan Kelestarian dan Penglibatan Komuniti, Fesyen Lestari, Pelancongan Lestari, dan Kelestarian Bandar (Urban Sustainability).

    Dalam tempoh dua minggu antara sesi, pelajar telah mendalami penyelidikan mereka dengan meneroka kisah kejayaan tempatan, menemu bual pihak berkepentingan, dan berkongsi pandangan melalui kolaborasi atas talian.

    GAMBAR SERAHAN UBD

    Program yang berakhir pada 27 September itu memberi peluang kepada pasukan pelajar untuk membentangkan penemuan dan cadangan penyelesaian mereka yang mana pembentangan ini dinilai secara rakan sebaya, dan anugerah juga diberikan bagi kategori Kecemerlangan dalam Penyelidikan dan Huraian, Idea Paling Inovatif, dan Penceritaan dan Pembentangan Terbaik.

    Selain pembentangan, inisiatif ini antara lain bertujuan untuk memperkasa kemahiran pelajar dalam pengurusan projek, pemikiran kritis, dan kerja berpasukan merentas budaya.

    Di samping menyemai kesedaran tentang Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Selain itu, peserta juga memperoleh pendedahan berharga kepada pelbagai perspektif tentang bagaimana penyelesaian kelestarian boleh diaplikasikan di negara dan komuniti yang berbeza.

    Pelajar juga berjaya dalam mengembangkan pengetahuan dan membina rangkaian antarabangsa bersama rakan sebaya yang komited terhadap usaha kelestarian.

    Program ini turut menyerlahkan peranan kepimpinan UBD dalam mempromosikan pendidikan kelestarian dan kerjasama serantau, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab penyelidikan inovatif dan inisiatif rentas sempadan yang menyumbang kepada pembangunan mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda