Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    UBD kukuh dalam kemapanan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Quacquarelli Symonds (QS) telah mengumumkan rangking universiti baharu mengenai kemapanan di mana Universiti Brunei Darussalam (UBD) berada dalam kedudukan 601-700 di dunia.

    Rangking Kemapanan QS berkenaan menunjukkan bagaimana universiti-universiti di seluruh dunia mengambil tindakan untuk menangani cabaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ketika mereka bersedia untuk menerajui rentak perubahan alam sekitar dan sosial melalui penyelidikan, pengajaran dan penglibatan masyarakat.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, rangking baharu itu menyediakan gambaran unik mengenai institusi-institusi yang menunjukkan komitmen terhadap pembangunan mampan.

    Kedudukan mencari bukti daripada kesan yang dibuat oleh alumni dalam sains dan teknologi untuk menyelesaikan isu iklim, kepada kesan penyelidikan yang telah dibuat merentas 17 matlamat pembangunan mapan (SDG).

    Penyelidikan kemapanan alam sekitar oleh warga UBD mengenai kelawar vesper. – Gambar serahan UBD

    Ia menilai impak-impak sosial dan alam sekitar universiti sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan.

    Rangking tersebut mempunyai dua kategori iaitu Kategori Impak Alam Sekitar dan Kategori Impak Sosial di mana untuk Kategori Impak Alam Sekitar, ia melihat kepada bagaimana institusi dibentuk dan mempengaruhi dasar alam sekitar di peringkat nasional dan global melalui biasiswa, pengajaran dan penyelidikan.

    Melalui inovasi, pengetahuan dan budaya, universiti memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan membentuk dunia yang lebih mampan dari segi alam sekitar dan dalam kategori ini, UBD telah menunjukkan prestasi paling kukuh dalam penunjuk Pendidikan Lestari.

    Manakala dalam Kategori Impak Sosial pula, institusi dinilai berdasarkan penglibatan dalam isu keadilan sosial, memainkan peranan dalam melaksanakan SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Penunjuk prestasi dalam kategori ini mewakili pelbagai aspek kerja institusi dalam memastikan kemajuan sosial serta pendidikan berkualiti dan daripada lima penunjuk prestasi itu, UBD paling kukuh dalam Impak Pendidikan.

    Dalam pada itu, UBD terus mengekalkan kedudukan sebagai salah satu universiti terkemuka di rantau ini dengan berada di kedudukan ke-71 dalam Rangking Universiti Asia QS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...