Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD lakar pencapaian lancar prototaip MEKAR

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengumumkan penyertaan dalam Shell Eco-Marathon (SEM) Asia Pasifik dan Timur Tengah 2024 pada Majlis Pelancaran Kereta Prototaip yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD hari ini.

    Hadir bagi melancarkan kereta yang diberi nama MEKAR itu, Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan seterusnya menyampaikan penghargaan kepada wakil penaja bagi kenderaan tersebut.

    Terdahulu pelancaran MEKAR, Ketua Kumpulan UBD SEM, Awang Hifdzur bin Haji Mohd Zain, dalam ucapan antara lain mengongsikan penyertaan dalam SEM dan perjalanan kerja keras kumpulan dalam menghasilkan dan mereka bentuk kereta elektrik.

    Selain mengongsikan bahawa UBD pada tahun ini telah bejaya menyiapkan tujuh buah kereta elektrik untuk dipertandingkan, yang mana MEKAR direka dan dihasilkan oleh Belia Tabah untuk kumpulan masa depan UBD yang dihasrat untuk mempromosikan kelestarian dan mencegah pembaziran bahan.

    “Ini juga sekali gus memberi masa dan kemudahan pembelajaran kepada generasi akan datang dengan menambah baik dan menaik taraf kenderaan sedia ada,” jelasnya.

    Dr Hazri semasa menhadiri majlis pelancaran berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Awang Hifdzur semasa menyampaikan ucapan semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Dr Hazri semasa menyempurnakan pelancaran MEKAR di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Tambahnya lagi, “Dengan sokongan penaja yang bermurah hati, pasukan kami telah bersedia untuk mengurangkan jumlah berat kenderaan secara berkesan sebanyak 70 peratus berbanding dahulu, meningkatkan kecekapan dan kebolehgerakannya semasa pertandingan.”

    “Dengan 90 peratus badan kenderaan yang diperbuat daripada polimer bertetulang gentian karbon, di samping penyepaduan komponen terkini seperti motor yang dinaik taraf, kami telah menyasarkan untuk meningkatkan prestasi dan keberkesanan,” tambahnya.

    Beliau seterusnya menambah, kumpulan kami akan bersaing dalam SEM Asia Pasifik dan Timur Tengah 2024 pada Julai 2024 di Lombok, Indonesia, untuk kali kedua.

    MEKAR adalah produk kerja keras yang dibuat selama 10 bulan daripada lapan orang ahli pasukan Belia Tabah tetapi juga daripada penyelia dan beberapa sukarelawan lain yang sama-sama menjayakan penghasilkan kereta ini.

    “Pada tahun ini, Belia Tabah telah berjaya mengumpul lebih $50 ribu daripada penaja dari pelbagai syarikat swasta dalam sama-sama berusaha membantu dan menjayakan projek berkenaan,” ujarnya.

    MEKAR ditaja oleh beberapa buah syarikat yang antaranya termasuk Brunei Shell Petroleum (BSP), Brunei Shell Marketing (BSM), Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Shell Exploration Production Brunei B.V, pegawai UBD, para akademik, pelajar dan juga ibu bapa pelajar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda