Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai peneraju bersama baharu bagi ASEAN University Network (AUN)- Technology Enhanced Personalised Learning (TEPL) di Mesyuarat Kerja AUN-TEPL 2023 di Singapore Management University (SMU) pada 25 Mei lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD di sini, SMU mempengerusikan rangkaian tematik AUN-TEPL di mana peneraju bersama yang lain termasuk Universiti Malaya, Malaysia dan Mahidol University, Thailand.
Mesyuarat kerja itu berlangsung di Auditorium Ngee Ann Kongsi, Kampus SMU pada 25 Mei hingga 26 Mei di mana Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), Dr Joyce Teo Siew Yean mewakili UBD semasa majlis penyampaian MoU Rangkaian Tematik AUN-TEPL di antara SMU, Mahidol University dan Universiti Malaya.
MoU itu bermatlamat untuk menubuhkan sebuah rangka kerja kolaboratif dan menekankan komitmen oleh universiti-universiti peneraju bersama ke arah mencapai misi rangkaian tematik termasuk memudahkan bengkel pembangunan kapasiti, menjana sebuah platform kerjasama bagi perisian dan peralatan pendidikan serta merangsang kolaborasi merentas universiti.
Semasa mesyuarat pelan kerja berkenaan, UBD bersama-sama dengan SMU, Mahidol University dan Universiti Malaya telah menyumbang kepada perbincangan kolaboratif yang diadakan.
Mesyuarat itu bermatlamat untuk memupuk kerjasama antarabangsa dan memacu misi AUN-TEPL dalam memajukan technology-enhanced personalized learning di dalam ASEAN.
Dengan bekerjasama, rangkaian tematik berkenaan berhasrat untuk memacu perubahan yang positif dan menyumbang kepada aspek pembelajaran dikhususkan yang menyeluruh pengajian tinggi di rantau ASEAN.
Di samping mesyuarat pelan kerja berkenaan, delegasi UBD termasuk Timbalan Pengarah Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (C3L), Dr Nik Afiqah binti Haji Mohamad Tuah dan Ketua Pusat Pembelajaran dan Pengajaran, UBD, Dr Hajah Syamimi binti Haji Mohd Ariff Lim telah melawat Akademi SMU di mana mereka diberikan penerangan mengenai metodologi pengajaran inovatif dan teknologi canggih SMU yang direka bagi pembelajaran sepanjang hayat.
SMU juga komited kepada pembangunan profesional dan pembelajaran sepanjang hayat melalui Akademi SMU yang menawarkan pelbagai program pendidikan berterusan dan pembangunan eksekutif.