Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga kerjasama strategik dimeterai

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV- Universiti Brunei Darussalam (UBD) memformalkan tiga kerjasama penting melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), Really Corporation Co., Ltd. (SEA Bridge) dan GIFT South East Asia Sdn Bhd semasa Sidang Kemuncak dan Pameran Pendidikan Tinggi Antarabangsa 2025 (IHEEIC 2025) yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Hadir untuk menyaksikan perasmian kerjasama berkenaan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Mengulas mengenai MoU berkenaan, Dr Hazri berkata kerjasama strategik berkenaan mengetengahkan komitmen UBD kepada pengantarabangsaan dan visi untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara serta matlamat pembangunan mampan global.

    MoU dengan UNDP menubuhkan sebuah rangka kerja bagi kolaborasi dalam memajukan pertumbuhan inklusif, inovasi mampan dan kerjasama ilmu pengetahuan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Wawasan Brunei 2035.

    Dr Hazri bertukar-tukar dokumen dengan UNDP sambil disaksikan oleh YB Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah (tengah).

    Bidang-bidang kerjasama utama termasuk pembangunan kepimpinan dan modal insan, kedayatahanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), penyelidikan pembangunan mampan, inovasi dasar dan advokasi serantau bagi tindakan iklim serta transformasi digital.

    Wakil Residen, UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei, Edward Vrkic berkata kerjasama berkenaan menandakan sebuah mercu tanda signifikan dalam usaha kolektif untuk mempercepatkan perkembangan ke arah SDG.

    Dengan menggabungkan kepakaran global UNDP bersama kecemerlangan akademik UBD, jelasnya, mereka mampu menjana penyelesaian inovatif yang dapat memacu pembangunan mampan.

    Kerjasama dengan SEA Bridge, sebuah pembina usaha niaga rentas sempadan yang berpangkalan di Thailand, memberi tumpuan kepada pengantarabangsaan pendidikan tinggi melalui penyelidikan, penglibatan industri dan inovasi rentas sempadan.

    Dr Hazri bertukar-tukar dokumen dengan SEA Bridge sambil disaksikan oleh YB Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah (tengah).

    Bidang kerjasama termasuk penyelidikan bersama, program pertukaran fakulti, latihan industri untuk pelajar UBD, kemudahan makmal bersama, penganjuran bersama sidang kemuncak serantau, pengkomersialan IP dan akses pasaran untuk inovasi di Thailand dan Brunei.

    Pengasas SEA Bridge, Kasper-Tanakrit Semsuksan menyatakan amat teruja untuk bekerjasama dengan UBD dalam menjana peluang bermakna bagi pelajar, penyelidik dan inovator untuk terlibat sama merentas sempadan. Kolaborasi itu, tambahnya, akan mengukuhkan ekosistem inovasi ASEAN.

    Sementara itu, MoU dengan GIFT South East Asia Sdn Bhd menubuhkan sebuah rangka kerja bagi mengukuhkan hubungan antara pendidikan tinggi dan industri melalui penyelidikan bersama, pembangunan bakat, program latihan serta pengkomersialan inovasi.

    Dr Hazri bertukar-tukar dokumen dengan GIFT South East Asia Sdn Bhd sambil disaksikan oleh YB Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah (tengah). – GAMBAR-GAMBAR OLE SIM Y. H.

    Pengarah Urusan Global Institute For Tomorrow, Pial Khadilla menyatakan kerjasama berkenaan adalah selaras dengan misinya untuk menghubungkan akademia dan industri.

    “Kami berharap dapat membangunkan bakat, memacu inovasi dan mencipta penyelesaian berimpak yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.”

    Ketiga-tiga MoU berkenaan mempunyai tempoh permulaan selama lima tahun dengan peruntukan untuk lanjutan, mencerminkan komitmen jangka panjang semua pihak untuk membina perkongsian yang mampan dan berimpak.

    Majlis menandatangani perjanjian itu dihadiri oleh pegawai kanan dari UBD, wakil dari organisasi rakan kongsi, ahli komuniti diplomatik dan jemputan yang menyertai IHEEIC 2025.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda