Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD, PBMP jalin kerjasama dalam bidang maritim

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Dengan memberikan tumpuan utama kepada Konvensyen Pengurusan Air Balast, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU)bagi kerjasama dalam bidang maritim pada majlis penandatanganan MoU yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Ibu Pejabat PBMP, Muara, hari ini.

    Hadir untuk menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pengerusi PBMP, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani; ahli-ahli Lembaga PBMP, pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan serta wakil-wakil dari UBD.

    Pada majlis berkenaan, MoU ditandatangani oleh Ketua Eksekutif PBMP, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Menandatangani selaku saksi ialah Pemangku Ketua Pelabuhan PBMP, Kapten Basza Alexzander bin Haji Basri dan Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Kemampanan), UBD, Dr Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary, Kapten (B) Zil Husam, Dr Hazri, Kapten Basza Alexzandar dan Dr Haji Abdul Hanif bergambar ramai bersama dokumen yang telah dimeterai bersama pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Dr Hazri menyampaikan cenderamata kepada Kapten (B) Zil Husam dengan disaksikan oleh YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Kapten (B) Zil Husam dan Dr Hazri menandatanganani MoU dengan disaksikan oleh YB Pengiran Dato Seri Setia Shamhary. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    MoU berkenaan menyediakan rangka kerja bagi kerjasama dengan matlamat untuk memupuk kolaborasi dalam penyelidikan, pendidikan dan operasi maritim.

    Satu komponen utama kerjasama berkenaan adalah penubuhan keupayaan ujian Konvensyen Pengurusan Air Balast di makmal UBD, iaitu satu langkah penting dalam memastikan kepatuhan Brunei kepada standard maritim antarabangsa.

    Kolaborasi itu juga akan memajukan pemantauan dan penyelidikan gunaan di perairan Brunei sambil menjana peluang bagi penempatan pelajar dan projek penyelidikan lepasan graduan, sekali gus menyediakan pengalaman praktikal dan pembangunan akademik.

    Di samping itu, ia juga mengukuhkan keupayaan makmal dan jaminan kualiti, meningkatkan infrastruktur penyelidikan UBD dalam menyokong usaha saintifik masa depan dan sedang berjalan.

    Selain itu, perjanjian itu juga membuka ruang bagi kerjasama yang meluas termasuk pembangunan program-program akademik baharu, inisiatif penyelidikan bersama, penglibatan institusi, peluang latihan dan penubuhan kemudahan makmal bersama khususnya di UBD.

    Inisiatif-inisiatif berkenaan juga bermatlamat mengukuhkan keupayaan maritim dan mempromosikan pembangunan maritim mampan.

    Sementara itu, kolaborasi berkenaan menyokong hala tuju Negara Brunei Darussalam ke arah ratifikasi Konvensyen Pengurusan Air Balast Organisasi Maritim Antarabangsa dengan menyelaraskan standard kebangsaan dan proses persijilan dengan keperluan konvensyen.

    Ia juga mengukuhkan keupayaan ujian negara, memastikan infrastruktur pengurusan air balast yang efektif serta meningkatkan kesiapsiagaan pihak berkepentingan untuk mematuhi peraturan antarabangsa.

    MoU berkenaan juga menandakan mercu tanda signifikan dalam usaha Negara Brunei Darussalam untuk melaksanakan konvensyen maritim antarabangsa dan mempromosikan pertumbuhan mampan dalam sektor maritim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda