Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan UBD
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menghoskan acara UBD Plantastique Day yang pertama dengan hasrat untuk menggalakkan para pengunjung memberi kembali kepada universiti dengan menyumbangkan tumbuh-tumbuhan menerusi Give a Plant to University.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, hari ini, acara itu juga diadakan untuk mempromosikan Pusat Penyelidikan Botani UBD (UBDBRC) dan Simpur Herbal Cafe kepada orang ramai.
UBD Plantastique Day telah dianjurkan bersama oleh Office of Alumni Relations and Advancement (OARA) dan UBDBRC dengan sokongan Simpur Herbal Cafe dan Majlis Pelajar UBD School of Business and Economics di mana seramai 43 orang penggemar tumbuh-tumbuhan menghadiri acara berkenaan termasuk kakitangan UBD, pelajar, alumni dan orang ramai.
Kenyataan menyatakan bahawa acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan ucapan alu-aluannya dari Ketua OARA, Dayang Nur Nasuha Amalina Tajuddin dan kemudian, menyaksikan aktiviti Plant Swap, di mana para pemilik bertukar tumbuhan masing-masing sambil berkongsi ilmu pengetahuan mengenai tumbuh-tumbuhan serta berkebun.
Para peserta turut berpeluang untuk menyertai lawatan ke UBDBRC di mana ia menempatkan beberapa ratus spesies tumbuh-tumbuhan.
Selain daripada mengendalikan aktiviti penyelidikan, UBDBRC juga terlibat dalam aktiviti pendekatan dan pendidikan, mengetengahkan koleksi tumbuh-tumbuhan perubatan dan bertukar-tukar idea dengan alumni serta orang ramai mengenai dengan pemuliharaan hutan.
Majlis berkenaan juga menyaksikan peniaga makanan dan minuman dan peniaga tumbuh-tumbuhan turut dijemput untuk memeriahkan acara itu. Majlis diakhiri dengan sesi perkongsian dalam kalangan alumni dan peserta di Simpur Herbal Cafe.
UBD Plantastique Day diharapkan dapat mengukuhkan hubungan antara alumni, orang ramai dan universiti dengan memupuk hubungan menguntungkan kedua-dua belah pihak termasuk peluang-peluang bagi kolaborasi kreatif.