Sunday, April 13, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD raih anugerah tertinggi Babson Collaborative 2025 di Paris

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Universiti Brunei Darussalam (UBD) menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan dengan 2025 Babson Collaborative Spotlight Award semasa Babson Collaborative Global Summit yang berlangsung di Ecole des Dirigeants et des Createurs d’entreprise (EDC) Paris Business School, Perancis, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, menyatakan anugerah yang disampaikan oleh Babson College, Amerika Syarikat, mengiktiraf inisiatif-inisiatif cemerlang dalam program pendidikan keusahawanan di serata rangkaian global Collaborative.

    Pada sidang kemuncak 2025 yang membawa tema, Kuasa Pendidikan Keusahawanan Global: Mempupuk Inovasi melalui Kolaborasi, mengumpulkan seramai 78 delegasi dari 48 institusi pengajian tinggi dari 31 buah negara yang mewakili pertukaran dinamik perspektif global dalam pedagogi keusahawanan.

    Babson Collaborative Global Summit merupakan sebuah perkumpulan tahunan bagi ahli-ahli untuk meneroka bagaimana pendidikan keusahawanan dapat merangsang pertukaran bermakna melalui metodologi pengajaran inovatif, penyelidikan berimpak dan kerjasama strategik.

    Mereka yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan juga bertukar-tukar amalan terbaik kurikulum dan kokurikulum, memperoleh gambaran mengenai ekosistem keusahawanan tempatan dan sekolah hos, kemajuan kepimpinan pemikir dalam bidang berkenaan serta terlibat dalam perbincangan informal berhubungan kerjasama berpotensi akan datang.

    Dr Masairol Haji Masri bergambar ramai bersama delegasi UBD di Paris, Perancis. – GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD
    GAMBAR SERAHAN UBD

    Acara kemuncak bagi sidang berkenaan ialah The Spolight Award di mana pengiktirafan UBD menandakan sebuah mercu tanda signifikan bukan sahaja bagi universiti itu tetapi juga bagi Negara Brunei Darussalam dengan UBD menjadi institusi pertama dari Asia untuk menerima penghormatan antarabangsa berkenaan daripada Babson Collaborative.

    Anugerah berkenaan telah diterima oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan Keusahawanan dan Penglibatan Industri), UBD, Dr Masairol Haji Masri bagi mewakili UBD di Paris, Perancis.

    Beliau diiringi oleh delegasi UBD yang merangkumi Timbalan Pengarah Pembangunan Keusahawanan, Dr Annie Dayanie Abdullah; Timbalan Dekan Kerjasama dan Penglibatan, Dr Thuraya Farhana; dan Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Keusahawanan UBD, Dr Siti Norwahida.

    UBD menerima anugerah berkenaan bagi Program EntreMasterclass iaitu sebuah inisiatif pembangunan keusahawanan dalam kampus yang dikagumi oleh pasukan kepimpinan Collaborative bagi inovasi, impak dan potensi untuk pengantarabangsaan.

    Sehingga kini, program berkenaan telah melibatkan seramai 453 orang ahli kakitangan UBD, yang mencerminkan penyertaan meluas di institusi berkenaan.

    Maklum balas daripada para peserta program adalah amat positif dengan kadar purata kepuasan melebihi 80 peratus.

    Kepimpinan Babson Collaborative memuji program itu sebagai sebuah program di mana institusi ahli yang lain akan mendapatinya sebagai menarik dan memberi inspitasi, dengan potensi kuar untuk diterima pakai atau direplikasi secara antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda