Friday, October 25, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD sambut Hari MIB

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Dalam konteks dunia moden hari ini, mengikut faktor masa, keadaan dan ekonomi, budaya berpakaian memang menjadi identiti setiap individu dan masyarakat, namun perubahan-perubahan dalam konteks budaya telah berlaku menerusi konsep asimilasi dan akulturasi.

    Selaku orang Brunei yang masih mengekalkan reka bentuk baju berkonsepkan Melayu Islam Beraja (MIB) berdasarkan konsep baju cara Melayu namun terdapat sedikit perubahan tanpa menghilangkan reka bentuk yang asalnya.

    Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah, Penolong Kanan Profesor Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Haji Tassim bin Haji Abu Bakar sempena Majlis Sambutan Hari MIB, UBD di ruang legar perpustakaan utama universiti berkenaan, hari ini.

    Dalam ucapan alu-aluan, beliau seterusnya menambah bahawa hari MIB bukan sahaja mengimbas kembali MIB sebagai falsafah negara, malah mengkaji dan menghubungkaitkan peranannya dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran baju berkonsepkan MIB dan Buku MIB yang diterbitkan oleh APB, UBD. Buku itu adalah hasil penyelidikan dalam kalangan tenaga akademik tempatan di APB.

    Yang Berhormat Menteri melancarkan baju berkonsepkan MIB dan Buku MIB di majlis perasmian sambutan Hari MIB, UBD, kelmarin. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Antara yang hadir pada hari perasmian sambutan Hari MIB di Ruang Legar Perpustakaan Utama universiti. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melancarkan baju berkonsepkan MIB dan Buku MIB itu, Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Sambutan yang bertemakan, MIB dan Pembangunan Mampan: Mengakar Nilai Tempatan, Menjulang Matlamat Global itu turut mengetengahkan pameran dengan konsep MIB dan SDG yang disertai oleh fakulti, institut, pusat dan pejabat pentadbiran di UBD.

    Hari MIB UBD diharap dapat merealisasikan empat matlamat utama iaitu menyatupadukan seluruh warga UBD dalam cara kehidupan keBruneian, meningkatkan pemahaman dan penghayatan tentang asas sejarah dan falsafah negara iaitu MIB.

    Di samping itu, ia juga meneroka kaitan falsafah MIB dalam masyarakat kontemporari dan keselarasannya dengan SDGs serta memupuk pemikiran kritis dan dialog dalam kalangan warga UBD mengenai peranan MIB dalam pembinaan negara dan bangsa.

    Majlis kemudian diteruskan dengan sesi forum MIB yang menampilkan tiga orang panel dari kalangan ahli akademik dan juga mantan-mantan Pengarah APB.

    Majlis turut diserikan dengan beberapa aktiviti kebudayaan seperti menambat dastar dan menapih sinjang juga diadakan sebagai pendedahan kepada para pengunjung khususnya para warga universiti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda