Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Sengenics melakar mercu tanda yang amat signifikan dalam hubungan kerjasama di antara kedua-dua buah institusi berkenaan yang bermula daripada perjanjian kerjasama penyelidikan yang dimeterai pada Julai 2014 dengan menyaksikan pelancaran kemudahan produksi Immunome dan penandatanganan biasiswa di antara Sengenics dengan lima orang mahasiswi sarjana UBD.
Kerjasama di antara kedua-dua belah pihak itu bukan sahaja terhad kepada kerjasama penyelidikan tetapi ia telah berkembang untuk meliputi pelbagai bidang termasuk pertukaran ilmu pengetahuan, penempatan kakitangan, komersial dan kini melangkah kepada penganugerahan biasiswa kepada lima orang mahasiswi UBD yang akan mengendalikan penyelidikan di UBD dan Sengenics.
Perkembangan positif itu dikongsi oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UBD, Profesor David Koh Soo Quee dalam ucapannya di Majlis Perasmian Kemudahan Produksi Immunome dan Penandatanganan Biasiswa di antara Penuntut Sarjana UBD dan Sengenics yang berlangsung di UBD, hari ini.
Hadir di majlis berkenaan bagi menyempurnakan perasmian dan menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kewangan dan Ekonomi) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Hamzah bin Haji Sulaiman selaku wakil peribadi Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Mohamad Roselan bin Haji Mohamad Daud.
Profesor David Koh dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa inisiatif Biasiswa Penyelidikan Graduan Sengenics menunjukkan komitmen Sengenics dalam mengembangkan lagi hubungannya dengan institusi-institusi pengajian tinggi termasuk UBD di mana kerjasama berkenaan adalah amat penting jika ingin untuk mengejar inovasi serta pertukaran teknologi.

Beliau turut berharap supaya kerjasama itu akan terus membuahkan hasil yang positif dan memberikan sumbangan efektif kepada usaha untuk mencapai Wawasan 2035.
Profesor David Koh, ketika mengulas mengenai dengan perasmian makmal produksi Immunome oleh Sengenics di UBD, berkata bahawa penempatan makmal produksi berkenaan di UBD setentunya akan menambahkan lagi dinamisme universiti berkenaan kepada komuniti penyelidikan yang ada.
Pada masa yang sama, beliau berkata, dalam hasrat UBD untuk menjadi institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi yang bertaraf dunia, universiti berkenaan akan terus mengukuhkan hubungan dengan pihak industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Terdahulu daripada itu, Pengarah Eksekutif Sengenics, Dr Arif Anwar dalam kata alu-aluannya menekankan komitmen Sengenics untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama di antara Sengenics dan UBD di mana perasmian makmal produksi Immunome dan penganugerahan biasiswa kepada mahasiswi sarjana UBD sebagai manifestasi kepada komitmen berkenaan.
Beliau turut berkata bahawa Sengenics terus menggandakan usahanya untuk bukan sahaja mempromosikan usaha kepelbagaian ekonomi negara tetapi turut menggandakan usaha bagi membangunkan industri ilmu pengetahuan canggih menerusi teknologi dan inovasi.