UBD sertai Ekspo Pengajian Tinggi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan turut menyertai Ekspo Pengajian Tinggi 2020 yang bakal diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX, Jerudong, pada 8 dan 9 Februari depan.

Semasa ekspo anjuran Kementerian Pendidikan itu, para pelajar dan ibu bapa serta penjaga akan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai melanjutkan pengajian di UBD, menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD.

Pengunjung akan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai program-program yang terdapat di UBD, terutamanya program-program ijazah. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan maklumat mengenai keperluan kemasukan dan pilihan pengajian sarjana dan pembelajaran sepanjang hayat.

Kenyataan menjelaskan, program ijazah GenNEXT UBD adalah pendekatan kepada pendidikan yang berpusatkan pelajar, menyediakan asas bagi pembelajaran sepanjang hayat.

Pendekatan berbilang disiplin ini melengkapkan pelajar dengan kemahiran-kemahiran penting termasuk pemikiran kritikal, pemikiran, perhubungan, analisis kuantitatif dan dengan perspektif kebangsaan dan global.

Tiga prinsip yang diterapkan dalam semua modul GenNEXT adalah keusahawanan, kepimpinan dan inovasi serta kesedaran alam sekitar.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa UBD juga akan mengadakan Hari Terbuka pada hari sama di Pusat Pelajar, UBD bagi pengunjung mendapatkan pengalaman lebih mendalam mengenai kehidupan di universiti. Pengunjung akan dapat melihat kehidupan pelajar di universiti menerusi lawatan kampus berjadual.