Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Pemimpin dan Presiden Universiti Global (GUPLS) 2024 yang berlangsung di Hong Kong pada 2 hingga 3 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UBD, di sini, sidang kemuncak yang dianjurkan oleh Persatuan Persahabatan Luar Hong Kong dan disokong oleh University Grants Committee dan sembilan buah universiti di Hong Kong, itu mengumpulkan pemimpin-pemimpin akademik daripada serata global untuk membincangkan meNgenai masa depan pendidikan serta globalisasi ilmu pengetahuan.
Pada sidang berkenaan, UBD telah diwakili oleh Penolong Naib Canselor dan Naib Presiden (Penyelidikan, Inovasi dan Kemampanan), Dr Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Mahadi, di mana penglibatan UBD dalam sidang kemuncak itu, menggariskan komitmen berterusan kepada memastikan pendidikan yang terbaik bagi pelajar-pelajar UBD pada masa kini dan pada masa hadapan.
Dalam sesi perbincangan bertajuk, Demographic Change and Education in the Future, yang dipengerusikan oleh Presiden Universiti Pendidikan Hong Kong, Profesor John Lee Chi-Kin dan dipengerusikan bersama oleh Profesor Madya Pendidikan di Sekolah Siswazah Pendidikan Harvard, Dr Peter Q Blair, Dr Haji Abdul Hanif telah membincangkan mengenai Pelan Induk Kemampanan UBD yang mengintegrasikan amalan-amalan kemampanan di serata lima bidang utama iaitu penyelidikan, pendidikan, kampus hijau, urustadbir baik dan penglibatan komuniti.
Pendekatan itu adalah untuk memastikan bahawa UBD terus memimpin secara teladan dalam menangani cabaran global yang mendesak seperti perubahan iklim, pengurusan sumber dan ketidaksaksamaan sosial, sambil memperkasakan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjana perubahan yang bermakna.
UBD turut mengetengahkan Program GenNEXT yang memupuk kolaborasi antara disiplin untuk melengkapkan pelajar-pelajar dengan pendidikan yang serba lengkap. Program itu menggambarkan kepercayaan UBD kepada kuasa pembelajaran merentas disiplin untuk menyelesaikan masalah rumit dalam dunia yang pesat berubah.
Dedikasi UBD kepada pembelajaran sepan-jang hayat juga ditekankan semasa sidang kemuncak berkenaan, terutamanya dengan universiti menawarkan program-program peningkatan kemahiran untuk menyokong individu di peringkat berlainan kerjaya mereka.
Usaha itu memastikan bahawa tenaga kerja Brunei kekal kompetitif dan boleh menyesuaikan diri dalam pasaran pekerjaan global yang pesat berubah.
Di samping usaha kemampanannya, penyertaan UBD mengetengahkan persahabatan berterusan antara Brunei dan Hong Kong, mencerminkan komitmen bersama kepada memupuk kolaborasi antarabangsa dalam pendidikan. Hubungan yang kukuh itu, dibina atas asas saling menghormati dan matlamat bersama, dengan universiti kedua-dua belah pihak bekerjasama untuk menjana peluang bagi dialog global, pertukaran dan perkembangan.
Menerusi kerjasama berkenaan, UBD terus memajukan misinya untuk mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan terlibat dalam kolaborasi antarabangsa bermakna.