Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Shenzhen New Industries Biomedical Engineering Co., Ltd. (Snibe), baru-baru ini telah merasmikan perkongsian strategik dengan menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan kerjasama mobiliti, penyelidikan dan latihan khusus dalam kalangan pelajar dan kakitangan.
Majlis penandatanganan MoU yang diadakan di Ibu Pejabat Snibe di Shenzhen pada 20 Januari lalu itu telah dirasmikan oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan Pengerusi dan Pengurus Besar Snibe, Dr Rao Wei.
Turut hadir daripada pihak UBD ialah Penolong Naib Canselor (Penglibatan Global), Dr Joyce Teo Siew Yean; Penolong Naib Canselor (Penglibatan Industri dan Pembangunan Perusahaan), Dr Masairol bin Haji Masri; dan Dekan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Dr Hajah Hardimah binti Haji Mohd Said. Manakala daripada pihak Snibe turut dihadiri oleh Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa dan Pengurusan Snibe, Lucy Liu.
Perkongsian berkenaan sememangnya bagi mengeratkan hubungan antara ahli akademik dan industri dalam sektor bioperubatan. Inisiatif utama termasuk program pertukaran dan latihan untuk pelajar dan kakitangan, pembangunan projek penyelidikan bersama dalam inovasi bioperubatan dan penciptaan program latihan khusus dalam diagnostik bioperubatan lanjutan.
Di majlis tersebut, Dr Hazri menekankan kepentingan kerjasama berkenaan dalam memacu penyelidikan yang berkesan dan meluaskan peluang global untuk pelajar dan kakitangan UBD.
Snibe telah didedikasikan untuk bidang instrumen makmal klinikal dan diagnostik in vitro selama 30 tahun, secara konsisten menyumbang kepakaran dan inovasinya kepada kemajuan kesihatan manusia. Ia juga merupakan chemiluminescence immunoassay pertama pengilang di China yang mendapat kelulusan FDA.
Jalinan kerjasama itu menekankan komitmen UBD untuk memupuk perkongsian global yang begitu bermakna dan dedikasi Snibe untuk memajukan teknologi bioperubatan.
Kedua-duanya institusi bertujuan untuk memupuk sinergi dinamik yang merapatkan bidang akademik dan perindustrian, menyumbang kepada inovasi dan kesejahteraan masyarakat.