Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD terus memperkasa pendidikan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan terus memperkasakan pembangunan pemimpin masa depan yang holistik menerusi pendidikan berinovasi dan penyelidikan berkeusahawanan dengan menerapkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

    Ke arah itu, UBD akan dan terus melabur secara ekstensif bagi memastikan pendidikan berkualiti kelas pertama dan kemudahan terbaik untuk setiap pelajarnya yang diharapkan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang unik ditawarkan UBD ini. Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Hajah Rubiah binti Haji Yacub ketika menyampaikan Ucapan Khas Naib Canselor semasa Minggu Orientasi di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Beliau turut memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini yang menekankan kepentingan melabur dalam sumber manusia bagi memandu pertumbuhan dan perkembangan.

    “Kerajaan akan terus mengutamakan pelaburan dan UBD pula akan terus memperkasakan pembangunan pemimpin masa depan yang holistik menerusi pendidikan berinovasi serta penyelidikan berkeusahawanan bagi menerajui aspirasi negara dengan nilai-nilai MIB,” katanya.

    Menurutnya lagi, perjalanan pelajar bersama UBD akan dibimbing dengan tiga prinsip iaitu inovasi dan keusahawanan, kemahiran relevan industri dan semangat untuk pembelajaran sepanjang hayat.

    Hajah Rubiah ketika menyampaikan Ucapan Khas Naib Canselor semasa Minggu Orientasi di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

    Hajah Rubiah turut menegaskan bahawa UBD percaya pembelajaran bukan sahaja satu proses intelektual malah merangkumi pembangunan perwatakan baik seseorang di mana inisiatif, penglibatan, kesabaran, kedayatahanan, motivasi dan sikap ingin tahu mereka merupakan aspek kemanusiaan yang dapat diasuh serta memberikan inspirasi mengenai hubungan yang akan dijalin di UBD.

    Hubungan itu hanya dapat dijalin menerusi interaksi para pelajar secara erat di mana dengan para pelajar mempelajari mengenai nilai insan dan perwatakan baik, ia juga akan membangunkan sifat penilaian baik yang akan menjadi asas bagi pendidikan tinggi dan membolehkan pembelajaran sepanjang hayat.

    Pembangunan insan merupakan salah satu daripada lima nilai utama UBD di mana moto UBD ialah Ke Arah Kesempurnaan Insan, jelasnya.

    Menurutnya lagi, UBD juga telah melabur dalam teknologi maklum balas yang lebih bernilai dan efektif supaya para pelajar akan mencapai matlamat mereka selaras dengan wawasan 2035.

    “Di UBD, kami percaya bahawa maklum balas adalah amat penting dalam pembelajaran efektif. Kami telah mengalihkan tumpuan kami daripada model maklum balas tradisional kepada sebuah model yang moden dan sistematik dengan matlamat untuk memperbaiki keyakinan awda, kesedaran diri dan semangat pembelajaran awda,” jelasnya.

    Beliau menyatakan bahawa pada Oktober lalu, UBD telah memperkenalkan sistem maklum balas, E-help, iaitu sebuah platform bagi para pelajar untuk menyampaikan harapan, merapatkan jurang antara prestasi, menilai kualiti dan menjana kriteria pemikiran maju.

    Menggunakan laluan atas talian itu, para pelajar boleh mengimbas pengalaman, menjejak perkembangan, menyediakan cadangan, berhubung dengan kumpulan-kumpulan relevan di UBD serta terlibat dengan pelbagai penyelesaian yang boleh memberikan manfaat kepada diri mereka dan universiti.

    Hajah Rubiah menyatakan lagi bahawa UBD adalah terus komited untuk menjana suasana kondusif bagi para pelajar untuk meraih kejayaan secara akademik, sosial dan peribadi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda