Saturday, November 2, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD, Tsinghua University meterai perjanjian pertukaran pelajar

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Tsinghua University, Republik Rakyat China, hari ini, telah memeterai perjanjian pertukaran pelajar yang menandakan satu lagi pencapaian dalam institusi pendidikan negara.

    Majlis penandatanganan telah berlangsung di Bilik Persidangan, Aras 2 Bangunan Pentadbiran, UBD, di mana hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan penandatanganan perjanjian berkenaan bagi pihak UBD ialah Naib Canselor, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Sementara itu, mewakili Tsinghua University ialah Presiden, Profesor Wang Xiqin.

    Turut hadir menyaksikan penandatanganan itu ialah Naib Presiden NUCTECH Company Limited, syarikat spin-off Tsinghua University, Profesor Miao Qitian, serta para pegawai pengurusan dan kakitangan kedua-dua universiti.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Dr Hazri berkongsi bahawa asas kerjasama antara UBD dan Tsinghua University telah berjalan semasa lawatan universiti berkenaan ke UBD pada 2015, yang diikuti dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) pada tahun yang sama.

    Lawatan dari Tsinghua University akan mengukuhkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi, termasuk bidang seperti kejuruteraan, keusahawanan dan inovasi, serta, pengajian komunikasi.

    Untuk mobiliti pelajar, UBD merancang untuk menghantar golongan pelajar Discovery Year untuk mengikuti program-program study abroad dan internship di Tsinghua University.

    Secara timbal balik, UBD juga bersedia untuk menerima pelajar Tsinghua University bagi Program Pertukaran Semester dan program jangka pendek Global Discovery (GDP) termasuk Global Entrepreneurship Summer School dan GDP Discover Brunei Course.

    Tsinghua University disenaraikan dalam 25 universiti terbaik di dunia dalam kedua-dua ranking universiti dunia Times Higher Education (THE) dan Quacquarelli Symonds (QS). Di Asia, Tsinghua University menduduki tempat pertama dalam THE Rankings 2023.

    Dr Hazri dan Profesor Wang Xiqin bertukar dokumen perjanjian pada majlis yang berlangsung di Bilik Persidangan, Aras 2 Bangunan Pentadbiran, UBD. – Gambar oleh Nurdiyanah R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda