Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Dalam usaha mengukuhkan hubungan akademik, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Perjanjian ini dimeterai bagi mewujudkan kerangka kerjasama yang meluas dalam beberapa bidang utama, termasuk pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan bersama, serta penerbitan akademik.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UBD, Dr Hazri Haji Kifle dan Rektor UIAM, Profesor Emeritus Dato’ Dr Osman Bakar.

Majlis menandatangani telah disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir bagi pihak Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersama para pegawai kanan dan ahli akademik dari kedua-dua institusi.
Perkongsian baharu ini dijangka membuka peluang baharu kepada para pelajar dan penyelidik, dengan memanfaatkan kekuatan unik kedua-dua universiti.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran buku baharu bertajuk ‘Education of The Interior: Essays in Honour of Professor Syed Ali Ashraf’ yang mana naskhah ini disunting oleh Shaikh Abdul Mabud, seorang Profesor Madya di Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS), UBD.
Buku yang penuh pencerahan ini memberi penghormatan kepada warisan intelektual Profesor Dr Syed Ali Ashraf (1924–1998) sebagai seorang pendidik dan sarjana perintis, pengkritik sastera, serta Pengarah pertama Pengajian Islam di Universiti Cambridge.
Ia merupakan penghormatan menyeluruh pertama dalam bahasa Inggeris kepada beliau, yang meneroka falsafah pendidikan beliau serta menampilkan refleksi daripada sahabat, bekas pelajar, dan sarjana terkemuka dari seluruh dunia.
Penyumbang terkenal termasuk Rektor UIAM, Profesor Dr Osman Bakar dan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menyumbang kata penutup yang menyoroti pengaruh berterusan Profesor Dr Syed Ali Ashraf terhadap dunia Islam dan seantero dunia.
Manakala, kata pengantar buku ini ditulis oleh Profesor Dr Seyyed Hossein Nasr, Profesor Pengajian Islam di Universiti George Washington, dan karya sarat dengan kedalaman intelektual dan spiritual ini dianggap sebagai sumbangan yang amat berharga kepada pemikiran Islam kontemporari.



