Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD, UNISSA kibar bendera

    Oleh Sim Y. H. dan Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Dalam menerapkan semangat patriotisme dan cinta kepada Negara Brunei Darussalam dalam kalangan pelajar, institusi-institusi pengajian tinggi tidak ketinggalan mengadakan majlis menaikkan bendera sempena Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, hari ini.

    Universiti Brunei Darussalam (UBD) adalah antara yang mengadakan majlis seumpamanya yang berlangsung di hadapan Bangunan Dewan Canselor, UBD.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama memeriahkan majlis ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle. Turut hadir ialah warga UBD yang terdiri daripada pegawai-pegawai utama, kakitangan dan mahasiswa-mahasiswi UBD.

    Upacara menaikkan bendera kebangsaan telah disempurnakan oleh ahli-ahli Platun Kadet Tentera UBD dengan diiringi oleh nyanyian lagu kebangsaan, ‘Allah Peliharakan Sultan’.

    Acara diteruskan dengan nyanyian lagu patriotik ‘Berkibarlah Bendera’, oleh para warga UBD yang hadir dengan diketuai oleh ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UBD dan Kelab Koir.

    Dr Hazri bersama-sama warga UBD yang menghadiri majlis menaikkan bendera yang berlangsung di hadapan Bangunan Dewan Canselor, UBD, kelmarin.
    Dr Haji Norarfan semasa menyerahkan bendera kebangsaan kepada anggota kadet tentera UNISSA.- Gambar oleh Muiz Matdani

    Pada majlis itu, Dr Hazri turut menyempurnakan pengagihan bendera kecil meja kepada ahli MPP Sesi 2021-2022 dan badan-badan pelajar UBD.

    Sementara itu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) mengadakan upacara menaikkan bendera di Kawasan Letak Kereta Zon A, UNISSA.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, pegawai-pegawai, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

    Majlis didahului perbarisan lalu terdiri daripada pasukan beruniform UNISSA yang termasuk pasukan kadet tentera, kadet polis, kadet bomba, Pengakap Kelana 1102 dan Pasukan Bulan Sabit Merah.

    Sebelum upacara menaikkan bendera, Rektor UNISSA diberikan penghormatan untuk memeriksa barisan pasukan beruniform UNISSA dan seterusnya menyerahkan bendera kebangsaan kepada Kadet Tentera 91378 Sarjan Kadet Tentera, Awang Muhammad Ridhwan Shabri bin Suhaini selaku ketua pasukan perbarisan.

    Seterusnya upacara menaikkan bendera diiringi dengan lagu kebangsaan oleh warga UNISSA dan ditutup dengan bacaan doa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda