Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UBD, Vietnam erat kerjasama melalui budaya

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Universiti Brunei Darussalam (UBD), dengan kerjasama Kedutaan Republik Sosialis Vietnam di Negara Brunei Darussalam, telah berjaya menganjurkan Konsert Persahabatan Brunei–Vietnam di Pusat Seni Pro-Canselor, UBD, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle. Turut hadir ialah Duta Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu bersama isteri, Le Thi Hong Ngoan; dan para pasukan pengurusan kanan UBD.

    Majlis tersebut turut dihadiri oleh duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi luar negara ke Negara Brunei Darussalam; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Haji Mohd Yusra bin Haji Mohd Salleh; Pengarah Hai Duong Petroleum and Marine Corporation (HADUCO) Luar Negara, Vu Viet Toan; dan Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.

    Konsert itu dianjurkan bersama antara UBD dan Kedutaan Republik Sosialis Vietnam untuk menggalakkan pertukaran budaya dan mengukuhkan persahabatan yang semakin meningkat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam. Ia juga bertujuan untuk meraikan kepelbagaian budaya dan kerjasama komuniti sambil meningkatkan kerjasama akademik dan peluang pertukaran pelajar antara UBD dan institusi di Vietnam.

    Acara itu menampilkan barisan persembahan yang meriah oleh golongan mahasiswa dan mahasiswi UBD, serta artis tempatan Brunei dan Vietnam. Antaranya termasuk persembahan silat tradisional, muzik gulingtangan dan tarian Joget Seri Kenangan oleh para penggiat seni mahasiswa dan mahasiswi UBD. Artis Vietnam dan Brunei juga bekerjasama dalam karya instrumental dan berkongsi lagu dari kedua-dua buah negara.

    Selaras dengan semangat kemasyarakatan, Vu Viet Toan, turut menyampaikan cek derma kepada Pusat Ehsan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka. Selain itu, sesi pertukaran cenderamata antara pihak-pihak yang terlibat sebelum berlabuhnya tirai acara tersebut.

    TYT Tran Anh Vu bersama Dr Hazri pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    ATAS & BAWAH : Acara dimeriahkan dengan persembahan daripada mahasiswa dan mahasiswi UBD serta artis tempatan Brunei dan Vietnam. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda