Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Berikutan kejayaan Persidangan Antarabangsa bagi Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (ICBEF) ke-2 pada 2019, UBD School of Business and Economics (UBDSBE) akan menghoskan Persidangan Antarabangsa ICBEF ke-3 dengan tema Paradigma Perniagaan Baharu semasa Ketidakpastian Ekonomi pada 1 hingga 3 November nanti.
Persidangan antarabangsa berkenaan akan dikendalikan secara dalam talian di mana ia merangkumi satu ucaptama, satu ceramah jemputan, dua sesi panel perbincangan dan beberapa sesi selari.
UBDSBE juga mengumumkan bahawa penceramah ucaptama bagi persidangan berkenaan ialah Profesor Keusahawanan dan Inovasi Digital, Surrey Business School, UK, Profesor Wim Vanhaverbeke di mana kertasnya bertajuk Digital Technologies, Business Model Innovation and Innovation Ecosystem Development, akan membincangkan mengenai kemungkinan kuasa gangguan teknologi digital, inovasi model perniagaan yang penyandang jawatan perlu bangunkan bagi menangani teknologi berkenaan serta inovasi ekosistem yang perlu ditubuhkan bagi menghidupkan inovasi model perniagaan itu.
Beliau juga akan membentangkan mengenai transformasi digital dengan aplikasi dalam pertanian, penjagaan kesihatan, tenaga dan pergerakan.
Di samping itu, beliau akan meneroka kekuatan dan kelemahan strategi-strategi ekosistem inovasi dan bagaimana syarikat-syarikat perlu mengaturkan sebuah ekosistem inovasi bagi merubah model perniagaan mereka.
Sementara itu, penceramah undangan bagi persidangan itu ialah Profesor Kewangan di Department of Economics and Finance, University of New Orleans, Profesor Mohammad Kabir Hassan di mana beliau akan mengongsi pandangannya mengenai pembangunan mampan dan kewangan Islam berasaskan nilai.
Persidangan itu akan mengetengahkan lebih 50 pembentangan oleh penceramah-penceramah dari negara-negara jiran termasuk Malaysia, Thailand dan Indonesia serta juga pembentang dari Negara Brunei Darussalam.
Pembentangan berkenaan akan disampaikan dalam lebih 15 sesi perbincangan selari.
Selain daripada kertas-kertas berkaitan tema utama itu, persidangan berkenaan juga akan mengetengahkan kertas-kertas yang meliputi isu-isu penting termasuk pengalaman dan impak COVID-19, pengurusan ilmu pengetahuan dan inovasi terbuka, isu-isu dalam pembangunan perniagaan, ekonomi pelancongan, fintech dan literasi kewangan, transformasi digital, pembangunan dan teknologi maklumat, sistem pengurusan prestasi, perangai pengguna dan teknologi maklumat, kesediaan bagi mengangkat industri 4.0, ekonomi yang baharu muncul dan Asia serta pembangunan ekonomi.
Pada persidangan itu, dua sesi panel perbincangan mengenai Pengurusan Ekosistem dan Inovasi bagi Pembangunan Mampan serta Merangkul Fintech dalam Era Ketidakpastian Perniagaan, akan mengetengahkan pakar-pakar tempatan dan antarabangsa dari United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan dan Singapura.
Persidangan tiga hari itu juga dianjurkan bersama dengan The Faculty of Management Science, Silpakorn University, Thailand, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UTiM), Sarawak, Malaysia, Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei Darussalam, Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) dan Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF). UBDSBE mengalu-alukan mereka yang berminat bagi menyertai persidangan itu di mana jika ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang http://sbe.ubd.edu.bn/icbef. Sebarang pertanyaan boleh dihadapkan ke sekretariat menerusi icbef.sbe@ubd.edu.bn.