Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Sembilan orang mahasiswa dan mahasiswi lepas ijazah program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) berserta tiga orang ahli akademik mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC), Malaysia bermula hari ini hingga 14 Oktober.
Dikendalikan dengan kerjasama Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC), lawatan selama empat hari itu bertujuan untuk mengembangkan kualiti kepimpinan, set kemahiran canggih, hubungan industri, pengetahuan lanjutan dan pengalaman dunia sebenar pelajar selaras dengan objektif program tersebut.
Lawatan yang dikendalikan di bawah modul Pengurusan Operasi dan Pengeluaran sebagai salah satu modul teras MBA bersama MPC itu diketuai oleh Dr Faizul Rizal Rashid.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Ketua Pegawai Operasi MPC, Awang Fazilah Yassin bersama para pengurusan dan kakitangan syarikat tersebut.
Objektif lawatan adalah bagi menyediakan pengetahuan langsung kepada para mahasiswa dan ahli akademik mengenai bagaimana pelabuhan antarabangsa beroperasi.
Lawatan itu juga menawarkan peluang unik kepada rombongan untuk memerhati dan memahami bagaimana teknik dan kaedah pengurusan operasi boleh digunakan dengan mudah untuk masalah dunia sebenar.
Ia memperkasakan lagi pendedahan peserta kepada persekitaran kerja sebenar bersama-sama dengan perspektif praktikal konsep teori yang berkaitan dengan domain mereka.
Dengan adanya lawatan sedemikian, ia begitu bermanfaat untuk kedua-dua pihak bagi meneruskan kerjasama pada masa akan datang.


