Uber alami kerugian lebih AS$1.7 bilion

NEW YORK, 7 OGOS – Uber mencatatkan kerugian sebanyak AS$1.78 bilion pada suku kedua ketika pandemik koronavirus terus menjejaskan perekonomian dunia, dengan berjuta-juta orang tinggal di rumah untuk mengekang penyebaran koronavirus.

Meski perkhidmatan penghantaran makanannya meningkat dan berkembang pesat, bagaimanapun ia masih berdepan dengan kerugian dan tidak menghasilkan keuntungan.

Syarikat gergasi yang berpangkalan di San Francisco itu menjana pendapatan AS$2.24 bilion pada suku kedua, turun 27 peratus berbanding waktu yang sama tahun lalu, berdasarkan mata wang tetap, kata syarikat itu kelmarin.

Perniagaan mobiliti Uber, yang merangkumi pilihan pengangkutan dan pergerakan mikro seperti skuter dan basikal, menyaksikan pendapatannya menyusut kepada AS$790 juta, turun 67 peratus daripada A$2.38 bilion setahun yang lalu.

“Walaupun sekarang ini kita berharap agar pandemik koronavirus akan berakhir, tetapi saya perlu sentiasa memastikan Uber akan bersiap sedia dengan sebarang senario yang berlaku,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dara Khosrowshahi dalam panggilan video dengan pelabur kelmarin. Perniagaan penghantaran Uber’s Eats – hanya sebahagian kecil syarikat – menghasilkan pendapatan AS$1.21 bilion pada suku tersebut. Ia meningkat 103 peratus daripada AS$595 juta pada suku kedua tahun lalu.

Oleh kerana sebilangan orang tinggal di rumah, lebih banyak orang menggunakan khidmat Uber Eats daripada sebelumnya, kata Khosrowshahi. Tempahan secara kasar untuk perniagaan mobiliti Uber merosot 73 peratus dari suku yang sama tahun lalu. Meski perkhidmatan penghantarannya meningkat, tetapi ia tetap mencatatkan kerugian sekitar AS$232 juta pada suku tersebut. – AP

Gambar fail pada 8 Mei 2018 menunjukkan logo Uber terlihat semasa persidangan Uber di Pusat Kebudayaan Skirball di Los Angeles, California. Uber mencatatkan kerugian sebanyak AS$1.78 bilion pada suku kedua ketika pandemik koronavirus terus menjejaskan perekonomian dunia. – AFP