SAN FRANCISCO, 31 Julai – Uber telah menghentikan pembangunan trak pandu sendiri memandangkan program tersebut tidak lagi kompetitif dalam industri pengangkutan perkapalan, menurut firma perkongsian pengangkutan Amerika Syarikat (AS), semalam.
Uber berkata ia mahu memfokuskan semula program kereta pandu sendiri, yang ditangguhkan selepas berlakunya kemalangan di mana sebuah kereta autonomi Uber telah membunuh seorang pejalan kaki di negeri barat daya Arizona Mac lalu.
Para kakitangan dalam divisyen trak pandu sendiri di San Francisco akan diletakkan ke unit-unit dalaman yang lain termasuklah program kereta pandu sendiri yang berpangkalan di Pittsburgh.

Di sebalik penutupan itu, Pengangkutan Uber iaitu unit perniagaan yang membantu memadankan pemandu trak bersama syarikat-syarikat perkapalan, tidak akan terjejas.
Uber telah terlibat dalam kenderaan tanpa pemandu pada awal 2015.
Kontroversi mula tercetus apabila ia membeli Otto iaitu sebuah projek trak pandu sendiri yang dibangun oleh bekas jurutera Google pada 2016, di mana Google telah menuduh jurutera tersebut kerana mencuri dokumen sulit sebelum meninggalkan syarikat itu. – Xinhua