Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Uber labur AS$300 juta bangunkan roboteksi

    NEW YORK, 18 JULAI – Gergasi perkhidmatan e-hailing, Uber mengumumkan kelmarin ia akan memperoleh saham bernilai AS$300 juta dalam syarikat pengeluar kenderaan elektrik Amerika Syarikat (AS), Lucid Motors, sebagai sebahagian daripada rancangan bercita-cita tinggi untuk membina armada roboteksi miliknya sendiri.
     
    Pasaran teksi autonomi kini sedang berkembang pesat, dengan anak syarikat Google, Waymo, memegang kedudukan paling kukuh di AS ketika ini.
     
    Tesla pula telah melancarkan perkhidmatan roboteksi pertamanya di Austin, Texas pada akhir Jun lalu, namun dengan skop yang terhad dan jumlah kenderaan yang amat kecil.
     
    Uber telah pun bekerjasama dengan Waymo dan kini menawarkan perkhidmatan tanpa pemandu di Atlanta, Georgia dan Austin.
     
    Namun, pengumuman kelmarin menandakan komitmen yang jauh lebih besar, apabila Uber memegang kepentingan ekuiti dalam Lucid.
     
    Berdasarkan harga pasaran semasa, pelaburan Uber sebanyak AS$300 juta itu mewakili kira-kira tiga peratus daripada jumlah modal pasaran Lucid.
     
    Berita tersebut mendorong saham Lucid melonjak hampir 30 peratus di perniagaan Wall Street.
     
    Di bawah perjanjian tersebut, Uber komited untuk membeli sekurang-kurangnya 20,000 kenderaan autonomi berasaskan model SUV Lucid Gravity dalam tempoh enam tahun selepas pengeluaran bermula, yang dijadualkan pada separuh kedua tahun 2026.
     
    Kenderaan-kenderaan itu akan dimiliki sepenuhnya oleh Uber dan hanya boleh didapati melalui platformnya. – AFP
     
    Logo Uber kelihatan pada papan tanda di luar ibu pejabat syarikat itu ketika orang ramai mengadakan protes berhampiran di San Francisco, California pada 8 Mei 2019. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda