SAN FRANCISCO, 30 Ogos – Uber berkata bahawa ia telah mengupah bos Expedia, Dara Khosrowshahi sebagai ketua pegawai eksekutifnya.
Khosrowshahi akan berada di ibu pejabat Uber di San Francisco bagi perkumpulan semua kakitangan untuk bertemu pekerja-pekerja di syarikat itu.
“Kami gembira untuk mengumumkan bahawa Ahli Lembaga Uber mengundi sebulat suara untuk melantik Dara Khosrowshahi untuk menjadi CEO baru kami,” eksekutif Uber berkata dalam satu e-mel yang dihantar kepada para pekerja lewat kelmarin.
Khosrowshahi sebelum ini berjaya mengubah Expedia menjadi sebuah perkhidmatan pelancongan global gergasi, memenangi kekaguman daripada kakitangannya sepanjang perjalanannya.
Uber berharap dia kini akan berada dalam arus perdana apabila berkhidmat di bawah Uber dan membawanya ke laluan yang lebih berjaya.

Khosrowshahi menggantikan pengasas bersama Uber, Travis Kalanick yang diberi tekanan untuk mengundurkan diri sebagai ketua Uber.
Kalanick merupakan kuasa pendorong di belakang Uber, menjadikannya syarikat teknologi yang dibiayai oleh usaha sama paling berharga.
Namun personaliti dan cara pengurusannya menyebabkan dia kurang disenangi. Dalam bulan Jun, dia mengundur diri sebagai ketua eksekutif.
Khosrowshahi berusia sembilan tahun apabila dia dan keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat pada malam Revolusi Iran, menurut Uber.
Khosrowshahi dikenali sebagai seorang eksekutif tertinggi berpengalaman, bersedia menyuarakan pendapatnya dan menyokong golongan wanita menerima bayaran sama dan peluang-peluang kepimpinan.
“Kami sangat bernasib baik untuk mendapat seorang pemimpin yang memiliki pengalaman, bakat dan visi seperti Dara,” ujar Uber dalam satu mesej kepada para kakitangan. – AFP