Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ucapan ketika menerima hadiah

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Khusus mengenai jiran yang bukan beragama Islam, dibolehkan memberi ucapan sejahtera kepadanya apabila dia dalam kegembiraan (kegembiraan bukan kerana suatu sempena atau upacara keugamaan) seperti menyambut kelahiran anak atau mendapat kejayaan dan memberi takziah bila dia dalam kesedihan, menziarahinya bila sakit dan mati dengan batas-batas tertentu.

    Selain itu, mendo‘akan mereka supaya masuk Islam dan menjadi jiran baik, aman kepada jiran Islam dan baik hati agar kekal perhubungan yang baik dan mendoakan mereka supaya makmur.

    Bagaimanapun terdapat sebahagian ucapan atau doa yang tidak dibolehkan untuk diucapkan kepada orang bukan Islam. Antaranya tidak boleh mendo‘akan mereka dengan rahmat dan maghfirah (keampunan).

    Diriwayatkan suatu kisah daripada Abu Musa al-Asy‘ariyy Radhiallahu ‘anhu:

    “Kaum Yahudi (dengan sengaja) bersin ketika mereka bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kerana mereka mengharapkan Baginda akan mengucapkan kepada mereka: “Allah merahmati kamu sekalian”.”

    Berterima kasih dan seumpamanya atas pemberian hadiah tersebut mempamerkan ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia penerimanya.

    Lalu Baginda bersabda: “Semoga Allah memberikan hidayah kepada kamu dan menyejahterakan keadaan kamu.” (Hadits riwayat at-Tir midzi)

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mendoakan mereka dengan rahmat kerana rahmat itu dikhususkan hanya kepada orang-orang mukmin.

    Bagaimanapun Baginda mendoakan bagi mereka dengan sesuatu yang memperelokkan dan menyejahterakan keadaan mereka seperti didoakan dengan hidayah, taufiq dan iman.

    Oleh itu dapat difahami dalam perkara membalas budi dan mendoakan orang bukan Islam, mestilah dengan perkara yang dibenarkan oleh syara‘, seperti mendoakan orang yang bukan Islam itu dengan panjang umur dan afiat serta mendapat hidayah.

    Selain itu dilarang mendoakan orang kafir yang telah mati dalam kufur dengan memohon supaya diampunkan dosanya. Perkara sedemikian adalah tidak harus (tidak dibolehkan). Ini kerana Allah Ta‘ala tidak akan mengampunkan dosa kufur sebagaimana yang tersebut dalam al-Qur’an, firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang taf-sirnya:

    “Tidaklah patut bagi Nabi (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) dan orang-orang yang beriman memohonkan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik walaupun mereka itu kaum kerabat sendiri sesudah nyata bagi orang-orang beriman bahawa orang-orang musyrik itu ialah penghuni neraka Jahim.” (Surah at-Taubah: 113)

    Sebagai kesimpulan, menerima dan memberi hadiah merupakan amalan yang digalakkan dalam Islam.

    Berterima kasih dan seumpamanya atas pemberian hadiah tersebut mempamerkan ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia penerimanya.

    Antara adab orang yang menerima hadiah dan orang yang memberi hadiah adalah saling mendoakan dengan berkat dan seumpamanya. Menerima hadiah daripada keluarga, jiran dan sahabat bukan Islam hukumnya adalah harus.

    Bagaimanapun dalam Islam, cara mendoakan orang bukan Islam itu ada batas-batas tertentu antaranya dengan mendo‘akan panjang umur, afiat, kesihatan dan juga agar dia mendapat hidayah. Tetapi dilarang mendoakan dengan keampunan dan beroleh rahmat Allah Ta‘ala.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda