Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ucapan ‘panas’ cetus kontroversi

    WASHINGTON, 30 Nov – Rangkaian CNN, Amerika Syarikat semalam berkata ia telah memutuskan hubungan dengan seorang penyumbang selepas dia membuat kenyataan berkontroversi berkaitan Israel dan Palestin pada majlis yang diadakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    “Marc Lamont Hill tidak lagi di bawah kontrak CNN,” kata seorang jurucakap dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan di laman sesawang saluran televisyen berkenaan.

    Hill, seorang profesor di Universiti Temple Philadelphia, sehari sebelumnya menggesa bagi ‘pembebasan Palestin dari sungai ke laut’ – satu cadangan yang dikaitkan dengan gerakan pejuang Islam Palestin, Hamas.

    Dia membuat kenyataan itu ketika berucap pada satu pertemuan yang diadakan oleh PBB bagi Hari Perpaduan Antarabangsa bersama rakyat Palestin.

    Hill menangani isu itu di Twitter, dengan berkata bahawa “rujukan saya pada ‘sungai ke laut’ bukan menggesa bagi pemusnahan apa-apa atau sesiapa saja.”

    “Ia adalah gesaan bagi keadilan di Israel dan di Tebing Barat atau Gaza. Ucapan itu amat jelas dan secara khusus merujuk kepada perkara itu,” katanya di Twitter.

    “Saya menyokong kebebasan Palestin. Saya menyokong pemerintahan sendiri Palestin. Saya amat mengkritik dasar dan amalan Israel. Saya tidak menyokong anti-Semitisme, tidak menyokong pembunuhan orang Yahudi atau perkara lain yang dianggap dalam ucapan saya.”

    Dia menambah bahawa dia menghabiskan hidupnya untuk memperjuangkan hal tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda