AIGLE, 12 DIS – Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) merancang untuk melarang kaedah penggunaan karbon monoksida kontroversi yang digunakan atlet bagi mengukur prestasi mereka.
Menurut kenyataan UCI hari ini, cadangan larangan atas alasan kesihatan ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan mereka di Perancis dari 31 Januari hingga 1 Februari.
Kaedah penggunaan gas toksik itu menjadi perhatian semasa perlumbaan Tour de France apabila laman web Escape Collective melaporkan beberapa pelumba dari pelbagai pasukan menyedut karbon monoksida untuk mengoptimumkan latihan di altitud tinggi.
Gas itu boleh digunakan sebagai penanda untuk memantau penyebaran oksigen dalam paru-paru atau jumlah keseluruhan hemoglobin, faktor penting dalam prestasi pelumba.
Namun, UCI menjelaskan, penyedutan karbon monoksida secara berulang dalam keadaan bukan perubatan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sakit kepala, keletihan, loya, muntah, sakit dada, kesukaran bernafas, dan kehilangan kesedaran.
Kesan buruk terhadap kesihatan dan kekurangan maklumat mengenai kesan jangka panjang dijadikan asas untuk cadangan larangan ini. – AP