Pelakon Syed Mohamad Asri enggan menerima tawaran lakonan yang memberikan harga terlalu rendah berbanding pengalamannya dalam dunia seni.
Kata Syed, 58, atau lebih popular dengan panggilan Usop Wilcha, isu bayaran murah kepada pelakon veteran juga tidak akan timbul sekiranya seseorang itu mengetahui mengenai hak mereka.
“Bagi saya mudah sahaja… kalau ada produksi yang tawarkan harga rendah saya akan terus tolak. Itu hak saya sebagai seorang pelakon. Saya tidak nafikan ada sesetengah produksi yang ambil kesempatan terhadap pelakon lama ini. Mereka tidak menilai dengan baik dan memberikan harga rendah. Jadi kalau berlaku perkara begitu lebih baik saya tolak awal,” katanya.
Syed ditemui ketika majlis tayangan filem terbaru lakonannya berjudul Kau Pilih Siapa? yang berlangsung di Petaling Jaya pada Selasa lalu.
Tambah pelakon itu, sebagai seorang anak seni yang mempunyai pengalaman luas, isu bayaran rendah seperti ini tidak perlu dihebahkan kerana setiap pelakon itu sendiri yang sudah setuju dengan sesebuah tawaran.
Dia juga enggan dilihat kurang bijak bercerita mengenai perkara itu sedangkan keputusan yang dibuat untuk terlibat dalam sesebuah produksi adalah atas pilihan sendiri.
“Apabila sudah menerima tawaran, itu menjadi satu tanggungjawab buat pelakon.
Saya tidak mahu tunjuk kebodohan diri sendiri dengan banyak merungut selepas sign kontrak,” ujarnya. – Agensi
