Oleh Afiq Zainuddin –
Udang Masak Lemak Cili Api adalah hidangan tradisional Melayu yang sangat popular, terkenal dengan rasa lemak, pedas dan aromatiknya.
Hidangan ini sememangnya sedap dan dapat membuka selera.
Hidangan ini biasanya menggabungkan udang segar yang dimasak dalam kuah santan yang pekat bersama cili api, aroma dari daun kunyit sungguh harum dan menyelerakan dan bahan-bahan lain untuk menghasilkan rasa yang lazat.
Hidangan ini sangat mudah untuk disediakan dan tidak memerlukan masa memasak yang lama dan ia sering disajikan sebagai lauk utama dan sangat sesuai dinikmati bersama nasi putih yang panas.
Ciri-ciri utama hidangan ini adalah dari segi rasa lemak dan pedas yang mana kombinasi santan pekat dan cili api mencipta rasa yang kaya dan pedas, sesuai dengan selera masyarakat Melayu, warnanya yang kuning cerah yang mana warna itu datang daripada kunyit hidup yang memberikan keunikan kepada hidangan.
BAHAN-BAHAN
Bercerita secara ringkas antara bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak udang masak cili api adalah seperti 300-500 gram udang segar yang dibersihkan, dibuang kepala dan kulit jika perlu.
Dua cawan santan, boleh gunakan santan pekat atau cair mengikut cita rasa awda, cili api, jumlah boleh disesuaikan mengikut tahap kepedasan yang awda mahu, kunyit hidup yang ditumbuk atau dikisar atau boleh guna serbuk kunyit satu sudu kecil sebagai pengganti.
Bawang merah dan bawang putih yang dikisar atau ditumbuk, serai, daun kunyit yang dihiris halus untuk aroma tambahan, asam keping atau jus limau nipis sebagai pengganti, garam dan gula secukup rasa dan air untuk mencairkan kuah jika perlu.
Bahan tambahan pula seperti belimbing buluh atau tomato untuk sedikit rasa masam segar, sayur-sayuran seperti kacang panjang dan sebagainya serta petai untuk menambah kelazatan.
CARA PENYEDIAAN
Mula-mula bersihkan udang dan potong janggutnya lalu ketepikan, selepas itu masukkan santan cair ke dalam periuk bersama bahan kisar halus, udang dan serai.
Selepas itu masak di atas api perlahan sehingga mendidih, setelah mendidih masukkan pula santan pekat, daun kunyit, asam gelugor dan kacang panjang kemudian masukkan garam dan sedikit gula secukup rasa.
Apabila kuah mendidih dan kacang panjang tadi masak lembut, terus tutup apinya.
Sebagai tip tambahan pula kuah hendaklah dimasak di atas api yang perlahan dan harus kerap dikacau supaya santan tidak pecah minyak dan berketul, udang pula tidak boleh dimasak terlalu lama kerana isinya nanti menjadi keras dan kurang sedap namun boleh juga digunakan santan, 1 kotak santan 200ml dan ditambah sedikit air. Sedia untuk dihidang, selamat mencuba.
Bahan-bahan:
• 300-500 gram udang segar (dibersihkan, buang kepala dan kulit jika perlu).
• 2 cawan santan (boleh gunakan santan pekat atau cair mengikut citarasa).
• cili api (jumlah boleh disesuaikan mengikut tahap kepedasan).
• kunyit hidup (ditumbuk atau dikisar, atau boleh guna serbuk kunyit 1 sudu kecil sebagai pengganti).
• bawang merah (dikisar atau ditumbuk).
• bawang putih (dikisar atau ditumbuk).
• serai (diketuk).
• daun kunyit (dihiris halus, pilihan untuk aroma tambahan).
• asam keping (atau jus limau nipis sebagai pengganti).
• garam secukup rasa.
• gula secukup rasa.
• air (untuk mencairkan kuah jika perlu).
Bahan tambahan:
• belimbing buluh atau tomato untuk sedikit rasa masam segar.
• Kacang panjang
• petai untuk menambah kelazatan.