Oleh Hajib Sarhan –
Udang masak sambal tumis adalah hidangan klasik yang cukup digemari ramai, terkenal dengan rasa pedas manis yang seimbang dan aroma rempah yang membangkitkan selera.
Udang segar digoreng ringan bersama serbuk kunyit, lalu disalut dengan sambal tumis yang kaya dengan rasa cili kering, bawang merah, bawang putih dan asam jawa.
Setiap suapan memberikan kombinasi rasa pedas, masam dan sedikit manis, menjadikan hidangan ini sangat sesuai dimakan bersama nasi panas.
Hidangan ini bukan sahaja mudah disediakan, malah pasti memikat selera keluarga dan tetamu awda.
Bahan-bahan
Untuk 5 orang
• 500g udang harimau (dibuang kulit)
• 15 biji cili kering (direndam dalam air panas hingga lembut)
• 8 ulas bawang merah
• 4 ulas bawang putih
• 40 g pes asam jawa
• 4 sudu besar gula
• 3 sudu besar garam
• 1 sudu besar serbuk kunyit
• 1 batang daun bawang (dicincang)
• 2 sudu besar minyak sayuran
• 1 liter air
ARAHAN
Mula-mula, kisar cili kering, bawang merah dan bawang putih di dalam pengisar sehingga halus. Tambahkan sedikit minyak sayuran supaya adunan menjadi licin.
Panaskan kuali dengan api sederhana dan tumis pes rempah tadi sehingga naik bau.
Kemudian, pindahkan pes ini ke dalam periuk.
Dalam jag, campurkan pes asam jawa dengan 1 liter air dan gaul rata. Tuangkan campuran ini ke dalam periuk bersama pes rempah.
Biarkan mendidih. Perasakan dengan 3 sudu besar garam dan 4 sudu besar gula.
Renehkan dengan api sederhana kecil selama 15 minit atau sehingga pes menjadi pekat. Ketepikan.
Seterusnya, di dalam mangkuk, gaulkan udang harimau bersama serbuk kunyit hingga rata.
Awda boleh menggunakan apa-apa jenis udang untuk resipi ini. Panaskan dua sudu besar minyak sayuran di dalam kuali dengan api sederhana tinggi. Goreng udang selama 1 hingga 2 minit setiap sisi sehingga udang masak sepenuhnya.
Masukkan semua pes sambal ke dalam kuali dan gaul rata. Biarkan ia masak selama dua minit.
Akhir sekali, hiaskan dengan daun bawang yang dicincang dan hidangkan panas-panas untuk menikmati kelazatan sebenar sambal tumis udang ini.