ISTANBUL, 7 OKT – UEFA kelmarin telah mengumumkan pihaknya secara berat hati telah meluluskan permohonan bagi perlawanan LaLiga Sepanyol antara Villarreal dan Barcelona serta perlawanan Serie A Itali antara AC Milan dan Como untuk diadakan di luar negara asal masing-masing, lapor agensi Anadolu.
Dalam kenyataannya kelmarin, UEFA turut memaklumkan Jawatankuasa Eksekutifnya membuat keputusan itu secara ‘pengecualian khas’ selepas mempertimbangkan rayuan rasmi yang dikemukakan kedua-dua penganjur liga berkenaan.
Perlawanan LaLiga turut membabitkan Villarreal menentang Barcelona yang akan diadakan di Miami, Amerika Syarikat pada Disember ini, manakala aksi Serie A antara AC Milan dan Como telah dijadualkan untuk berlangsung di Perth, Australia pada Februari tahun hadapan.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin turut menegaskan, semua perlawanan liga sepatutnya berlangsung di negara asal masing-masing, sambil mengingatkan langkah bermain di luar negara boleh ‘menyisihkan penyokong setia’ serta mencetuskan ketidakseimbangan dalam saingan domestik.
“Walaupun amat dikesali untuk membenarkan dua perlawanan tersebut diteruskan, keputusan ini bersifat luar biasa dan tidak boleh dianggap sebagai duluan,” katanya.
Menurut UEFA, keputusan itu diambil kerana kekaburan dalam rangka peraturan FIFA yang sedia ada, yang tidak memberikan panduan jelas bagi menghalang penganjuran perlawanan liga di luar negara asal. – Bernama


